Rebiu filem Terbaik Dari Langit ; pengembaraan mencari 'sesuatu'








ruang paradox cinematic idea pembikin filem muda bertemu seniman yang merupakan trio Bujang Lapok yang terakhir.

“..asalkan jujur dan ikhlas pun dah cukup baik,” nasihat terakhir ahli trio Bujang Lapok itu kepada pembikin filem muda. 

Walaupun mereka tak pernah tahu bahwa arwah Aziz Satar (ahli terakhir trio Bujang Lapok yang aku lihat sebagai ‘tanda aras zaman kegemilangan industri filem Melayu’) akan meninggalkan kita dengan patah kata ini sewaktu mereka bikin filem tersebut, namun Tuhan benar lebih mengetahui. Dan filem ini kemudian aku lihat punya sesuatu yang melebihi dari sebuah filem yang bukan hanya dibentuk oleh seorang pembikin filem. Malah ia juga dibentuk oleh takdir yang telah ditetapkan oleh Tuhan yang maha Esa. Yang dibentuk terbaik dari langit.

Dan benar aku mengucap dua kalimah syahadah kala menonton filem ini. Dan tak pernah aku mengucap ketika menonton, atau bila aku mengucap itu bermakna sama ada filem itu terlampau aku tak boleh terima kebodohannya atau ia terlampau baik sehingga aku sendiri seperti tidak percaya yang aku sedang tonton filem yang sangat baik.

Dan bergerak dari hal ini, yang aku nampak jelas dalam naratif filem ‘Terbaik Dari Langit’ kemudian adalah tentang rasa pembikin filem muda yang jujur dan ikhlas bercerita tentang cinta mereka pada filem dan dunia sinema. Dalam filem’Terbaik Dari Langit’ ini terlalu banyak yang boleh diperkatakan maka aku akan hanya memperkatakan tentang kejujuran mereka yang membikin filem ini, kerana pada aku itu yang paling jelas dan lebih bermakna mungkin untuk aku sendiri. 

Ia mungkin dilihat sebagai sebuah road movie dan homage sinema Malaysia ‘secara umum’. Tapi aku tak akan selesaikan tulisan ini hanya ‘secara umum’.

Naratif filem ini tentang sekumpulan sahabat yang asalnya datang dari satu ruang dan idea yang sama kemudian terpisah bila masing-masing meneruskan kehidupan lalu disatukan kembali dalam perjalanan explorasi idea watak Berg, salah seorang dari kumpulan sahabat ini yang merupakan seorang pengarah filem muda esentrik (lakonan yang sangat baik oleh Bront Palarae). Dalam perjalanan ini mereka dianjurkan dengan idea untuk mencari ‘UFO’ yang kita/penonton tidak ketahui benar atau tidak kewujudan idea itu (yang kemudian aku letakkan ‘UFO’ itu sebagai simbol kepada sesuatu). Dengan gagasan idea ‘mencari sesuatu’ ini, kumpulan sahabat ini dianjurkan untuk bersemuka dengan kehidupan yang telah mereka tinggalkan. Kehidupan yang sebenarnya menjadikan diri mereka yang sebenar. 

Kita/penonton turut sama dibawa merasai pengalaman pengembaraan ini untuk sama-sama memahami idea ‘sesuatu’ itu. Dan hanya dengan melalui pengalaman pengembaraan ini kita akan dapat memahami dan turut sama mencari makna kepada idea ini. Perjalanan yang akan turut sama mengubah sudut pandang kita/penonton tentang ‘sesuatu’ itu yang bukan sahaja dicari dan akan terkesan oleh watak-watak dalam naratif filem, lebih dari itu, kita/penonton juga turut sama mencari dan sama terkesan. 

Keseluruhan imej dalam filem ini jelas punya rasa, setiap gerak watak dan visual juga punya perasaan yang jujur. Filem Terbaik dari Langit ini benar memberikan sebuah paradox cinematic dengan alam sci-fi yang sangat mengkagumkan sifar pretentious. Kejelasan pada imej dan paradox cinematic filem ini jugalah yang benar menjelaskan perasaan pada assent naratif filem tersebut iaitu kejujuran.

Dalam ruang naratif ini juga, kita benar diserap perlahan dalam watak-watak itu, dari awal dibentuk jujur dan tersusun saling berhubung, punya cause dan effect yang sempurna, dan merasai jiwa mereka. Kita benar akan memahami melalui pengembaraan tentang makna yang ingin disampaikan melalui idea ‘mencari UFO’ itu. 

Juga patah kata watak yang punya isi akan perlahan meresap dan kemudian hidup selamanya. Begitu baiknya filem ini.

“.. benda ni meresap perlahan dalam kepala, berdengung!” jelas Ijam pada Ali dan Toyu tentang gagasan idea Berg tentang ‘sesuatu’ itu yang menjelaskan bahawa kita tak perlu memahaminya untuk merasainya. You don’t have to understand it clear just to enjoy life.

Perlahan juga, watak itu bergerak dalam pengembaraan mencari makna untuk membebaskan diri mereka yang terperangkap dalam diri mereka sendiri, Dan itu juga yang cuba dijelaskan dari awal melalui watak Berg, dan bila watak-watak dalam filem ini menemui kebebasan ketika mereka menari-nari dalam derai hujan, menikmati momen ruang dan masa tanpa mereka peduli nostalgia mahupun masa depan. Alam yang dicipta Tuhan. Kejujuran imej ini tampak jelas dan kita/penonton turut sama merasai kebebasan mereka, turut sama membebaskan kita buat seketika.

Yang kemudian dilihat sebenarnya pembikin filem muda ini mahu mencari ruang kebebasan untuk bercerita tentang hal yang dekat dengan mereka, dengan jujur.

“You suka fizik? Bila tertekan, kita akan cari ruang,” Sharifah Amani

“Itu kome ni, gemo benar buat cerita tahyul, hantu, zombie,” Mamat Khalid. “Bolehlah kome ganti Ahmad Idham. Dengar kata dia dah mula buat katering,” Mamat Khalid pun faham dengan idea ini.

Namun yang paling jelas dalam filem ini, kesemua pelakon dalam filem ini berjaya membina persefahaman yang sangat menakjubkan, memberi kekaguman yang luar biasa dalam menghidupkan sebuah naratif filem, ‘hubungan persahabatan’ yang hampir sama seperti pernah kita rasa dulu dalam filem Bujang Lapok. Persaaan bila watak dalam filem dapat dirasa, terasa dekat dan jauh. Begitu hebat ‘hubungan’ yang dibentuk oleh pelakon-pelakon filem ini, sehinggakan jelingan mata mereka sahaja mampu memberikan indikasi jelas bahwa mereka sedang berkomunikasi. Atau tanpa mereka berkata apa, dalam ruang sempit sebuah van (Jembalang) pun kita nampak jelas dan rasa mereka masing-masing sedang berkata dan berhubung dalam tutur gaya bahasa tubuh.

Seperti hubungan mereka benar haul, dan sesuatu itu bila sudah haul mudah dibentuk oleh pengarah. Menghilangkan segala yang menyusutkan menjadikan konteks penyampaian disampai dalam bentuk yang lebih mudah kerana hal yang mudah ini akan hanya tinggal akarnya – iaitu manusia dan masaalah mereka dalam hubungan mereka. Dan yang tinggal hanya kasih dan sayang antara mereka. Bentuk penyampaian yang ‘haul’ dan ‘mudah’ sebegini jarang kita temui dalam ruang sinema Malaysia yang dulu hanya mungkin ada dalam filem arwah Yasmin Ahmad.

Walaupun kesemua pelakon dalam filem ini berjaya membawa watak mereka sebaiknya untuk naskhah filem tersebut. Namun, aku harus beri kredit kepada kejujuran lakonan Amerul Effendi yang membawa watak Toyu@Khairuddin yang telah berjaya memberikan perasaan itu lebih jelas timbul di permukaan naratif, membantu menjentik semangat yang sangat indah lantas menghidupkan lagi filem tersebut.

Menarik adegan watak-watak ini berenang dalam laut benar terasa semangat sinema itu di layar lebar, seperti membawa kita/penonton bersama merasai kebebasan yang kita turut sama cari sewaktu menonton filem tersebut. Semangat pembikin filem muda meraikan cinta mereka.




Akhirnya idea ‘mencari UFO’ atau apa makna ‘UFO’ itu sendiri seharusnya dilihat sebagai sebuah idea yang harus dibuka dengan interpretasi. Kerana idea ini mampu dilihat sebagai hal yang kesemua watak cari. Lihat riak wajah Ali, Ijam, Toyu dan Sofea Jane bila watak Berg dibawa naik ke arah ‘UFO’ ini. Masing-masing punya idea masing-masing apa sebenarnya makna ‘UFO’ ini. Dan Kita penonton juga lihat sebegitu. Apa yang kita sendiri mahu percaya. Dan ‘UFO’ ini juga membawa aku teringat kepada perkataan ‘Rosebud’ dalam filem Citizen Kane arahan Orson Wales.

Filem Terbaik Dari Langit benar punya semangat sinema dan filem ini harus ditonton di sinema untuk merasai sepenuhnya semangat ini. Seperti kita harus tonton filem ‘Life of Pi’ dalam panggung IMAX 3D untuk merasai sepenuhnya semangat naratif filem tersebut. 

“Cinema and film must have it spiritual” Andrei Tarkovsky.

Hampir sudah aku lupa bila kali terakhir aku keluar panggung dengan perasaan yang puas selepas menikmati sebuah filem sesempurna ini. Yang punya semangat sinema yang luar biasa. Yang benar terbaik dari langit. 

1 comment:

  1. Syabas! Review yang tepat dan bernas. Saya setuju dengan pendapat anda mengenai aspek kejujuran filem ini yang berjaya mencuit dan menobat hati penonton.

    ReplyDelete