Rebiu filem Jwanita – kekeliruan jiwa Jwanita



Filem Jwanita tulisan dan arahan Osman Ali yang ke 8 selepas filem Anak Halal, Puaka Tebing Biru, Jiwa Taiko, Sejoli, Cun, Ombak Rindu & Pilot Café. 

Menarik bila pembukaan filem Jwanita diberikan jelas penuh dramatik, bila watak Jwanita di tengah tasik hitam, gelap, berdiri membaca mantera dan bermandikan darah. Kemudian justoposisi imej itu dicantuman dengan imej watak Jwanita berjalan dalam lakon layar penuh puitis, melangkah di atas lopak berselut, dan berjalan keluar ke arah ruang yang lebih lapang, dan kemudian watak Jwanita memandang ke belakang ke arah ruang kotor dari ruang yang cerah tadi, meninggalkan kita (penonton) dibelakangnya (di ruang kotor) memberikan diksi jelas membentuk keseluruhan naskah filem Jwanita.

Adegan yang seterusnya juga begitu jelas membina naratif Jwanita, bila watak Jwanita (masih kecil) mencari adiknya dengan penuh amarah. Dan naratif filem Jwanita bergerak jelas dan kemas dari adegan itu, diberikan jelas satu persatu bagaimana seorang anak kecil (perempuan) yang dibesarkan dengan ruang yang kelam, dan kotor kemudian membesar menjadi seorang wanita yang rapuh dan keliru. Ini diberikan dengan baik oleh Osman. 

Hanya naratif yang jelas dan kemas ini tidak digarap sebaiknya. Naskah Jwanita yang seharusnya begitu gritty, kotor dan gelap diselimuti oleh keindahan bahasa filem Osman Ali yang masih percaya bahwa penonton filem Malaysia masih mahukan jiwa yang diombak dengan rindu, sedangkan naskah Jwanita memerlukan ketulusan dan justify untuk membenarkan jiwa naskah Jwanita lebih hitam. Atau jika tidak hitam, Osman setidaknya memberikan sesuatu yang baru dari segi pembentukkan ruang dan masa naskah filem Jwanita.

Lanskap filem Jwanita secara keseluruhan juga tidak punya rasa yang konsisten. Masih ada lagi imej laut dalam bahasa puitis dalam naskah yang seharusnya gritty. Masih ada lagi rumah banglo besar Pilot Café yang tampak pura-pura dan tidak realistik. Masih ada lagi watak ibu-ayah yang terasing dalam naratif, tampak menjengkelkan. Masih ada lagi pelakon kanak-kanak yang tidak bersatu dalam naskah naratif dan seperti hilang arah. Dan masih ada lagi rumah kediaman/milieu watak yang seperti hotel tampak begitu terasing dengan watak.

Yang paling mengganggu, masih ada lagi gambar dalam frame di atas meja yang nampak begitu pura-pura, seperti ditampal, menjengkelkan.

Hanya yang menarik, bagaimana landskap bangsal di belakang rumah Dr. Farhan yang kemudian menjadi tempat watak Jwanita memuja dan menyimpan mayat yang dibunuhnya, tampak begitu kukuh dalam kekusutan, semak, gelap dan kasar lantas memenuhi ruang naratif Jwanita dengan baik.

Milieu dan watak dalam naratif harus saling timbal balik dengan jelas, namun dalam naskah Jwanita ia nampak terasing dan kosong.

Namun menarik melihat bagaimana Osman Ali meraikan filem ‘Dukun’ arahan Dain Said yang dibunuh LPF Malaysia tak lama dulu. Landskap filem Dukun di dalam ruang rumah dukun yang dilakonkan oleh Datin Umie Aida (juga pelakon utama filem ‘Dukun’) di beri nafas dalam naratif filem Jwanita tampak kasar dan telus pada naratif. Ini homaj Osman pada Dain mungkin.

Kekeliruan Jwanita yang paling jelas adalah genre filem tersebut bila sebuah naskah yang seharusnya berdiri di atas genre ‘psychological thriller’ diberi label ‘psychological horror’ di tangan Osman dan Julian (penerbit filem). Ruang dan nafas Jwanita akan berdiri lebih kukuh jika Osman menggarap dan membentuk naskah naratif Jwanita di dalam ruang psychological thriller.  Kewujudan hantu yang tak punya sebarang diksi jelas dalam naratif tampak tidak memberi sebarang kesan kepada perkembangan naratif ditambah lagi dengan zombi (mayat hidup) yang ditampal di tengah naratif tampak janggal dan mengganggu keseluruhan naratif.

Runut bunyi (sound design) filem Jwanita juga tidak langsung membantu memberikan sesuatu yang baru dalam naskah filem Jwanita. Masih ada lagi soundtrack muzik yang seakan muzik video yang kemudiannya membunuh jiwa naskah Jwanita. (babak Jwanita yang dalam kekeliruan, diberikan lagi kekeliruan bila lagu OST muzik yang ditampal pada adegan tersebut dan akhirnya ia kelihatan seperti sebuah muzik video yang janggal). Sound design seharusnya membantu emosi naratif berkembang dengan jelas, memberikan penonton ‘signifier’ yang utuh, menzahirkan perkembangan naratif. Dan bila OST yang ditampal ia tampak tidak matang. Dan kemudian jelas, memperlihatkan bagaimana Osman Ali sebagai sutradara.  

Jelas naskah filem Jwanita masih lagi percaya pada formula runut bunyi Ombak Rindu walaupun dalam emosi naratif yang seharusnya hitam dan mati.

Dan kekeliruan ini yang benar mengganggu pembentukkan naratif dan akhirnya membunuh naskah filem Jwanita. Seperti mana Jwanita membunuh Nona (lakonan baik Marsha Milan).

Kekeliruan Jwanita kemudian disogokkan lagi dengan kecompangan naratif yang tidak langsung dihiraukan oleh sang sutradara. Bagaimana di dalam adegan klimaks di pengakhiran cerita, sebelum watak Jwanita membakar dirinya hidup-hidup, diberi suatu pencerahan yang tidak langsung membantu, bila imej Dr. Farhan (lakonan Bront) di atas katil bersama Jwanita berduaan, berjanji untuk setia mencintai sehingga akhir hayat, dan imej itu tidak langsung punya rentetan yang utuh untuk membenarkan imej itu wujud sebagai suatu pencerahan. Kerana Dr. Farhan melalui lakonan Bront tidak langsung memberikan sebarang indikasi jelas bahwa mereka pernah bercinta, dan bagaimana watak Jwanita mulai obsess pada watak Dr. Farhan. Dan kemudian pencerahan adegan itu benar mengelirukan naratif yang tidak seharus begitu kecamuk lantas membunuh emosi ruang. Bagaimana Jwanita boleh begitu obsess pada Dr. Farhan juga tidak dibentangkan dalam naratif dengan jelas. Ini juga turut membunuh potensi paling menarik bila imej watak Dr. Farhan mati diterbakar hidup-hidup dalam dakapan Jwanita. Mengecewakan bila 'a beautiful sin' ini tidak punya makna dalam naratif Jwanita kerana tiada sebarang pencerahan yang lebih utuh.

Hanya cukup sekadar dialog Dr. Farhan ‘kau pandang mata aku” sudah boleh membikin jiwa seorang wanita yang keras (dilihat keras bila dia membunuh dan mencincang manusia hidup-hidup) begitu obsess?

Pertemuan watak Jwanita dengan adiknya Julaika (lakonan Suzzane) juga dihalalkan dengan begitu klise, bila Julaika membaca surat khabar Harian Metro dan kebetulan tunangnya Dr. Farhan (lakonan Bront) ada  di situ dan menyedari gambar kakaknya Jwanita yang sudah lama tidak ditemuinya di muka surat khabar dan kebetulan Jwanita pesakit Dr. Farhan? Ini pembentukkan naratif yang lapuk dan tidak seharusnya dihalalkan lagi. 

Osman Ali sebagai penulis juga pengarah yang berpengalaman seperti tidak langsung bertanggung-jawap dalam meninggalkan kecompangan naratif ini tanpa rasa bersalah. Ini seharusnya dapat dilihat olehnya jelas sebelum atau setidaknya ketika Osman sedang membentuk naskah tersebut.

Dan Selepas 8 filem, Osman Ali jelas masih lagi berada di lopak ‘pemikiran’ yang sama dalam bahasa filemnya. Osman seharusnya lebih matang dalam membina naratif Jwanita kerana sebagai seorang pengarah yang berpengalaman, seharusnya dia sudah dapat melihat lebih jelas bagaimana/justice seharusnya untuk membina naratif Jwanita dan memberikan sesuatu yang baru ‘fresh’ dari segi pembinaan lakon layar, emosi ruang dan naratif dalam naskah filem Jwanita. Dan akhirnya yang dibentuk olehnya dalam filem Jwanita adalah filem dengan struktur Ombak Rindu versi Seram. Hal yang sama juga dalam filem Puaka Tebing Biru. 

Namun lakonan Maya Karin sebagai Jwanita harus diangkat dan diraikan kerana hanya Maya sebagai Jwanita benar berdiri di atas naratif tampak jelas dan utuh. “dan kau benar harus takut pada Maya kerana dia Jwanita.” 

Jelas, Maya sebagai Jwanita seperti membunuh keseluruhan kekeliruan rasa yang dibentuk dalam naskah filem Jwanita yang menyenakkan dalam dirinya, dan ini harus diraikan.



Manuskrip novel - Joni Et Cinema

*sedikit teaser

Aku baru selesai menulis manuskrip novel, tentang sinema dan manusia yang mendiami sinema. Bagaimana cinta dan semangat sinema mereka dibunuh digital, literally.

Manuskrip novel ini masih belum bertemu mana-mana penerbit, maka aku terbitkan di blog sedikit kalau ada yang nak baca.


Manuskrip novel - Joni Et Cinema, tentang Joni, projectionist filem terakhir dekad ini, punya idea paling romantis - mahu sinema bayar kembali dendamnya, bila cintanya pada filem dibunuh digital. Literally dengan merompak sinema tersebut. 

klik sini untuk baca kazishak.blogspot.com 


 

Ulasan filem Gila Baby (2014)




*Maaf, ulasan ni aku tulis tak lama dulu - lupa nak publish. Jadi aku post kalau mungkin ada yang berminat nak baca,




“Filem Gila Baby - Baby Days Out dalam gaya Guy Ritchie yang tidak kesampaian”

Selepas kejayaan filem Dollah Superstar, gandingan pengarah Kabir Bahtiar dan penulis script Alfie Palermo sekali  lagi kembali mempertaruhkan naratif yang digerakkan oleh watak dan visual dengan penuh gaya yang sedikit menghiburkan dalam filem Gila Baby. Sebuah filem aksi yang padat, punya rasa komikal yang tidak terlalu dibuat-buat, dibentuk dengan gaya yang menarik. Diterbitkan oleh Grand Briliance dan Filmscape Sdn. Bhd.

Kredit pembukaan filem ini dibuka dengan text kredit dengan font aneh, warna kuning dengan latar lagu mirip tona filem Pulp Fiction. Menjelaskan keseluruhan tona filem ini yang jelas punya gaya pop. Kemudian filem diteruskan dengan shot big close up watak utama, Bob (Beto Kusyairi) dalam bingkai hitam putih, bercerita tentang dirinya. Dan benar, filem Gila Baby bergerak melalui watak Bob yang hidup dalam peraturan yang dibentangkan ayahnya yang percaya manusia itu hidup atas takdir yang telah ditentukan dan manusia tidak akan pernah dapat mengawal takdirnya. Seterusnya, filem ini bercerita tentang hal itu. Takdir, bila babak seterusnya, naratif berlegar dalam ruang lingkup watak Bob ditakdirkan hidup dalam keadaan daif, segalanya atas aturan dan peraturan ayahnya. Kabir menjelaskan watak Bob dengan baik dalam bahasa komedi yang mudah difahami, dan kemudian naratif dijelaskan lagi tentang hubungan Bob dengan ayahnya. Bagaimana Bob terkesan dengan aturan yang telah dibenih oleh ayahnya. Dan kemudian Bob akhirnya dibebani oleh masaalah kewangan, terpaksa menanggung pembiayaan rawatan ayahnya yang terlantar di hospital dan memerlukan pembedahan segera yang melibatkan kos yang tinggi. Hal ini dijelaskan dengan sangat baik oleh penulis script (Alfie Palermo) dan dibentuk jelas oleh Kabir Bahtiar. 

Dalam filem Gila Baby watak-watak yang menggerakkan cerita, diberi bentuk dan gaya komikal yang bersahaja dan tidak kelihatan terlalu dibuat-buat. Naratif filem ini seterusnya bergerak atas landasan ‘takdir’, bila kita ditemukan dengan watak Roy yang dilihat sebagai lelaki yang punya mentaliti yang tidak stabil, lakonan bergaya dan bersahaja oleh Sharnaaz Ahmad hampir punya rasa yang sama seperti watak Mikey O’Niel dari filem Snatch. Hal ini dijelaskan lagi bila gaya arahan Kabir dalam filem ini juga, dilihat dari juxtoposisi shot dan latar muzik yang dipilih membantu untuk memberi kesan pada pembentukkan gaya pada watak dengan baik. Dialog yang komikal yang tidak terlalu dibuat-buat dari watak dalam ruang naratif juga memberikan tona yang menarik dalam perkembangan naratif filem ini. 

Plot filem mula bergerak lebih pantas bila Roy punya niat membantu Bob untuk mendapatkan wang pembiayaan pembedahan ayahnya, dengan meminta Bob untuk berkerja dengan mencuri kereta mewah. Dan atas tiket ‘takdir’ juga, bila Bob berjaya mencuri sebuah kereta, bayi kecil yang mana anak kepada pemilik kereta itu juga berada di dalam kereta tersebut. Plot diteruskan sekali lagi atas lesen ‘takdir’ bila pemilik kereta yang dicuri Bob itu merupakan anak kepada ketua gangster (Chew Kin Wah) yang juga dilihat seperti watak “Cousin Avi” dari filem Snatch. Dan bayi dalam kereta yang dicuri Bob itu juga merupakan cucu kepada ketua gangster, di mana Roy merupakan antara konco kumpulan ketua gangster ini. Dan akhirnya ‘takdir’ ini dilihat sebagai lesen dalam sebuah penceritaan disebut sebagai sebuah ‘kebetulan’ yang diada-adakan hanya untuk membentuk naratif filem ini sebagai sebuah cerita untuk hiburan.  

Kemudian bermula adegan kejar mengejar “Baby Days Out” yang padat dengan aksi yang menghiburkan bila melihat manusia menjadi gila disebabkan “seorang bayi”. Sehingga Bob ditemukan dengan Jaja (Nadiya Nissa) juga atas lesen ‘takdir’. Menarik bila babak soal siasat dalam bilik beku yang dibentuk dengan gaya penyiksaan ala Quentin Tarantino yang punya stail dilihat pada warna dan tona ruang babak tersebut dan muzik yang melatari watak yang dibentuk bersahaja berjaya memberi rasa keseronokkan pada penonton. Watak Adam Corrie juga dilihat seperti watak “Freddie Four Fingers” dari filem Snatch, bila anak jarinya dipotong dengan gaya paling bersahaja dan dimasak di atas periuk air yang mendidih. Selain itu, watak Tom (Adlin Aman Ramlie) dan Jerry (Mazlan Pet Pet) juga berjaya berdiri sebagai comic relief duo persis gaya watak dari filem Lock, Stock and Smoking Two Barrels, yang berjaya mengisi ruang naratif dengan pembentukan watak dan lakonan yang baik. Kredit pada penulis script, bila semua watak berdiri atas naratif dengan masaalah masing-masing, dijelaskan pada penonton dengan terang mempunyai ‘misi dan matlamat’ dalam ruang naratif yang jelas.

Namun yang jelas, filem Gila Baby bukan sebuah road movie. Kerana dalam filem ini, perjalanan itu tidak jelas dan lanskap jalan dalam ruang naratif tidak langsung diberi diksi yang jelas yang mampu meletakkan filem Gila Baby sebagai sebuah filem road movie. 

Dan kalau Kabir kata ia sebuah filem road movie, aku mungkin akan kata "sila baca balik filem-filem road movie sebagai contoh Interstate 60, Thelma & Louise, atau mungkin setidaknya Dari Jemapoh ke Manchestee" 

Filem ini dipenuhi dengan aksi kejar mengejar tanpa arah perjalanan yang jelas. Tiada goal yang konsisten tentang hal perjalanan. Hal perjalanan itu hanya dilihat apabila Bob berjaya mencuri kereta pada act pertama filem ini, kemudian diminta untuk bawa kereta yang dicurinya itu dari Johor Bahru ke utara tanah air. Dan dipertengahan cerita, perjalanan itu berakhir dan bermula adegan kejar mengejar tanpa arah tuju yang lebih jelas. Filem ini kemudian memperkenalkan watak konco Roy (dua watak remaja yang belum matang bersifat tanpa arah tuju) juga seperti watak Gary dan Dean hanya dalam versi remaja dari filem Lock, Stock and Two Smoking Barrels juga arahan Guy Ritchie. 

Naratif filem Gila Baby akhirnya disimpulkan dengan gaya paling mudah. Mungkin kelihatan terlalu mudah dan tidak memberi kesan pada keterujaan penonton, bila segalanya disimpulkan di halaman rumah Major (Jalil Hamid). Bagaimana bila Bob bertindak dengan membakar wang yang dari awal dibawa lari untuk digunakan membiayai kos pembedahan ayahnya, untuk menyelamatkan Jaja dari dua orang konco Roy dilihat sebagai anti klimaks. Akhirnya masaalah Bob disimpulan bila watak Major membantu Bob dengan beri wang untuk membantu pembiayaan pembedahan ayah Bob. Dan beberapa lagi kesimpulan pada naratif yang tidak punya kesan dramatik yang mampu memberi keterujaan pada penonton. Plot twist pada babak di gudang kereta ketua gangster di penghujung filem ini juga seperti tidak membantu dalam memberi keterujaan pada babak akhir yang seharusnya dilihat sebagai klimaks filem, akhirnya dilihat sebagai meleret-leret tanpa tujuan yang lebih utuh.  

Namun, Gila Baby masih mampu berdiri sebagai sebuah filem yang berdiri di atas genre aksi komedi, padat dengan aksi yang tidak membosankan juga gaya watak dalam ruang naratif yang menghiburkan.