*sedikit teaser
Aku baru selesai menulis manuskrip novel, tentang sinema dan manusia yang mendiami sinema. Bagaimana cinta dan semangat sinema mereka dibunuh digital, literally.
Manuskrip novel ini masih belum bertemu mana-mana penerbit, maka aku terbitkan di blog sedikit kalau ada yang nak baca.
Manuskrip novel - Joni Et Cinema, tentang Joni, projectionist filem
terakhir dekad ini, punya idea paling romantis - mahu sinema bayar kembali dendamnya,
bila cintanya pada filem dibunuh digital. Literally dengan merompak sinema tersebut.
klik sini untuk baca kazishak.blogspot.com
Ulasan filem Gila Baby (2014)
*Maaf, ulasan ni aku tulis tak lama dulu - lupa nak publish. Jadi aku post kalau mungkin ada yang berminat nak baca,
“Filem Gila Baby - Baby Days Out
dalam gaya Guy Ritchie yang tidak kesampaian”
Selepas kejayaan filem Dollah
Superstar, gandingan pengarah Kabir Bahtiar dan penulis script Alfie Palermo
sekali lagi kembali mempertaruhkan
naratif yang digerakkan oleh watak dan visual dengan penuh gaya yang
sedikit menghiburkan dalam filem Gila Baby. Sebuah filem aksi yang padat, punya rasa
komikal yang tidak terlalu dibuat-buat, dibentuk dengan gaya yang menarik. Diterbitkan
oleh Grand Briliance dan Filmscape Sdn. Bhd.
Kredit pembukaan filem ini dibuka
dengan text kredit dengan font aneh, warna kuning dengan latar lagu mirip tona filem
Pulp Fiction. Menjelaskan keseluruhan
tona filem ini yang jelas punya gaya pop. Kemudian filem diteruskan dengan shot big close up watak utama, Bob (Beto
Kusyairi) dalam bingkai hitam putih, bercerita tentang dirinya. Dan benar,
filem Gila Baby bergerak melalui watak Bob yang hidup dalam peraturan yang
dibentangkan ayahnya yang percaya manusia itu hidup atas takdir yang telah
ditentukan dan manusia tidak akan pernah dapat mengawal takdirnya. Seterusnya, filem
ini bercerita tentang hal itu. Takdir, bila babak seterusnya, naratif berlegar
dalam ruang lingkup watak Bob ditakdirkan hidup dalam keadaan daif, segalanya atas
aturan dan peraturan ayahnya. Kabir menjelaskan watak Bob dengan baik
dalam bahasa komedi yang mudah difahami, dan kemudian naratif dijelaskan lagi
tentang hubungan Bob dengan ayahnya. Bagaimana Bob terkesan dengan aturan yang
telah dibenih oleh ayahnya. Dan kemudian Bob akhirnya dibebani oleh masaalah
kewangan, terpaksa menanggung pembiayaan rawatan ayahnya yang terlantar di
hospital dan memerlukan pembedahan segera yang melibatkan kos yang tinggi. Hal
ini dijelaskan dengan sangat baik oleh penulis script (Alfie Palermo) dan
dibentuk jelas oleh Kabir Bahtiar.
Dalam filem Gila Baby watak-watak
yang menggerakkan cerita, diberi bentuk dan gaya komikal yang bersahaja dan
tidak kelihatan terlalu dibuat-buat. Naratif filem ini seterusnya bergerak atas
landasan ‘takdir’, bila kita ditemukan dengan watak Roy yang dilihat sebagai lelaki
yang punya mentaliti yang tidak stabil, lakonan bergaya dan bersahaja oleh
Sharnaaz Ahmad hampir punya rasa yang sama seperti watak Mikey O’Niel dari
filem Snatch. Hal ini dijelaskan lagi bila gaya arahan Kabir dalam filem ini
juga, dilihat dari juxtoposisi shot dan latar muzik yang dipilih membantu untuk
memberi kesan pada pembentukkan gaya pada watak dengan baik. Dialog yang
komikal yang tidak terlalu dibuat-buat dari watak dalam ruang naratif juga memberikan
tona yang menarik dalam perkembangan naratif filem ini.
Plot filem mula bergerak lebih pantas
bila Roy punya niat membantu Bob untuk mendapatkan wang pembiayaan pembedahan
ayahnya, dengan meminta Bob untuk berkerja dengan mencuri kereta mewah. Dan
atas tiket ‘takdir’ juga, bila Bob berjaya mencuri sebuah kereta, bayi kecil
yang mana anak kepada pemilik kereta itu juga berada di dalam kereta tersebut. Plot
diteruskan sekali lagi atas lesen ‘takdir’ bila pemilik kereta yang dicuri Bob itu
merupakan anak kepada ketua gangster (Chew Kin Wah) yang juga dilihat seperti
watak “Cousin Avi” dari filem Snatch. Dan bayi dalam kereta yang dicuri Bob itu
juga merupakan cucu kepada ketua gangster, di mana Roy merupakan antara konco
kumpulan ketua gangster ini. Dan akhirnya ‘takdir’ ini dilihat sebagai lesen
dalam sebuah penceritaan disebut sebagai sebuah ‘kebetulan’ yang diada-adakan
hanya untuk membentuk naratif filem ini sebagai sebuah cerita untuk
hiburan.
Kemudian bermula adegan kejar
mengejar “Baby Days Out” yang padat dengan aksi yang menghiburkan bila melihat
manusia menjadi gila disebabkan “seorang bayi”. Sehingga Bob ditemukan dengan
Jaja (Nadiya Nissa) juga atas lesen ‘takdir’. Menarik bila babak soal siasat
dalam bilik beku yang dibentuk dengan gaya penyiksaan ala Quentin Tarantino
yang punya stail dilihat pada warna dan tona ruang babak tersebut dan muzik yang
melatari watak yang dibentuk bersahaja berjaya memberi rasa keseronokkan pada
penonton. Watak Adam Corrie juga dilihat seperti watak “Freddie Four Fingers”
dari filem Snatch, bila anak jarinya dipotong dengan gaya paling bersahaja dan
dimasak di atas periuk air yang mendidih. Selain itu, watak Tom (Adlin Aman
Ramlie) dan Jerry (Mazlan Pet Pet) juga berjaya berdiri sebagai comic relief duo
persis gaya watak dari filem Lock, Stock
and Smoking Two Barrels, yang berjaya mengisi ruang naratif dengan
pembentukan watak dan lakonan yang baik. Kredit pada penulis script, bila semua
watak berdiri atas naratif dengan masaalah masing-masing, dijelaskan pada
penonton dengan terang mempunyai ‘misi dan matlamat’ dalam ruang naratif yang
jelas.
Namun yang jelas, filem Gila Baby
bukan sebuah road movie. Kerana dalam filem ini, perjalanan itu tidak jelas dan
lanskap jalan dalam ruang naratif tidak langsung diberi diksi yang jelas yang
mampu meletakkan filem Gila Baby sebagai sebuah filem road movie.
Dan kalau Kabir kata ia sebuah filem road movie, aku mungkin akan kata "sila baca balik filem-filem road movie sebagai contoh Interstate 60, Thelma & Louise, atau mungkin setidaknya Dari Jemapoh ke Manchestee"
Filem ini dipenuhi dengan aksi kejar mengejar tanpa
arah perjalanan yang jelas. Tiada goal yang konsisten tentang hal perjalanan. Hal
perjalanan itu hanya dilihat apabila Bob berjaya mencuri kereta pada act pertama filem ini, kemudian diminta
untuk bawa kereta yang dicurinya itu dari Johor Bahru ke utara tanah air. Dan
dipertengahan cerita, perjalanan itu berakhir dan bermula adegan kejar mengejar
tanpa arah tuju yang lebih jelas. Filem ini kemudian memperkenalkan watak konco
Roy (dua watak remaja yang belum matang bersifat tanpa arah tuju) juga seperti
watak Gary dan Dean hanya dalam versi remaja dari filem Lock, Stock and Two Smoking Barrels juga arahan Guy Ritchie.
Naratif filem Gila Baby akhirnya
disimpulkan dengan gaya paling mudah. Mungkin kelihatan terlalu mudah dan tidak
memberi kesan pada keterujaan penonton, bila segalanya disimpulkan di halaman
rumah Major (Jalil Hamid). Bagaimana bila Bob bertindak dengan membakar wang
yang dari awal dibawa lari untuk digunakan membiayai kos pembedahan ayahnya, untuk
menyelamatkan Jaja dari dua orang konco Roy dilihat sebagai anti klimaks. Akhirnya
masaalah Bob disimpulan bila watak Major membantu Bob dengan beri wang untuk
membantu pembiayaan pembedahan ayah Bob. Dan beberapa lagi kesimpulan pada
naratif yang tidak punya kesan dramatik yang mampu memberi keterujaan pada
penonton. Plot twist pada babak di
gudang kereta ketua gangster di penghujung filem ini juga seperti tidak
membantu dalam memberi keterujaan pada babak akhir yang seharusnya dilihat
sebagai klimaks filem, akhirnya dilihat sebagai meleret-leret tanpa tujuan yang
lebih utuh.
Namun, Gila Baby masih mampu berdiri
sebagai sebuah filem yang berdiri di atas genre aksi komedi, padat dengan aksi yang
tidak membosankan juga gaya watak dalam ruang naratif yang menghiburkan.
Subscribe to:
Posts (Atom)