kenapa kita menonton filem?
*sebab gua suka sangat rasionaliti & persoalan yang di perkatakan ku seman, jadi gua cuba kongsi petikan artikel nukilannya ini, kalau ada yang belum sempat baca.
oleh Ku Seman Ku Hussain dalam getaran ; utusan malaysia 15 nov 2011
APABILA terdetik di hati untuk menonton filem, ada yang terpaksa bersesak di jalan raya dan beratur panjang untuk membeli tiket sebelum masuk ke pawagam.
Kita sudah pasti mempunyai jawapan kalau ditanya, “Kenapa menonton filem?" Adakah kita terpaksa membuang masa dan duit semata-mata untuk mendapat “mesej” seperti yang dijaja oleh sesetengah pengarah? Mesej penting apakah yang kita cari hingga sanggup memberi satu ruang waktu bagi tujuan ini?
Kalau semua filem mahu menyampaikan “mesej” seperti perutusan yang disiarkan di RTM, kita boleh mendapatnya dari saluran lain dan tidak perlu menonton filem. Malah kalau “mesej” yang dicari kenapa pula pengarah berlumba-lumba meletakkan pelakon popular dan tidak pelakon terbaik? Adakah makna menonton filem bagi sesetengah daripada kita adalah menonton pelakon dan bukan lakonannya?
Tetapi kalau sekadar menonton pelakon, apa lagi pasangan yang dijaja sebagai “bercinta” digandingkan dalam sebuah filem, tentu sahaja kita boleh menonton mereka di akhbar, majalah dan sekian banyak rancangan hiburan di televisyen. Jadi, apakah sebenarnya yang kita cari dari sesebuah filem yang menarik kita ke pawagam atau melanggan menerusi Astro First? Maka tentulah ada suatu yang lebih besar daripada “mesej”, jauh lebih penting daripada pelakon popular.
Sebenarnya kita tidak perlu menonton filem sekadar mengutip mesej yang boleh disampaikan menerusi sistem pesanan ringkas (SMS). Kalau sekadar mesej yang baik dibalas baik dan jahat dibalas sewajarnya, gunalah SMS sahaja, tidak perlu membuat filem. Pada umumnya filem adalah karya seni. Sementara manusia pula pada umumnya memerlukan karya seni sebagai makanan jiwa selain makanan zahir untuk mendapatkan tenaga dan kesihatan.
Manusia yang waras memerlukan seni, bukan sebagai makanan tambahan tetapi sebagai makanan ruji mempertajamkan pemikiran. Filem tidak sekadar ditonton tetapi dibaca. Siapa yang akan membaca filem? Penonton yang “membaca” filem melihat melampaui paparan di layar. Mereka membaca sistem tanda atau semiotik. Tanda-tanda yang mempunyai makna yang lebih besar daripada yang terpancar di layar.
Meminjam pemikiran Jostein Gripsrud dalam buku Film Studies: Critical Approaches, filem adalah penggerak sosial. Filem katanya, hanya bahan mentah tetapi istimewanya ia menyediakan pengalaman dan makna yang boleh dimanfaatkan oleh manusia. Maka tujuan menonton filem adalah menggiatkan fikiran kita terus bekerja dan mengutip pengalaman baru dari karya seni ini.
Untuk itu, penonton mesti memilih filem yang menjadikan mereka lebih banyak berfikir. Buatlah pilihan sekarang, tontonlah filem yang tidak membazir masa dan juga wang.
p/s : best jugak kalau dapat sembang apa yang cuba di sembang ku seman ini?
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment