Rebiu filem Terbaik Dari Langit ; pengembaraan mencari 'sesuatu'








ruang paradox cinematic idea pembikin filem muda bertemu seniman yang merupakan trio Bujang Lapok yang terakhir.

“..asalkan jujur dan ikhlas pun dah cukup baik,” nasihat terakhir ahli trio Bujang Lapok itu kepada pembikin filem muda. 

Walaupun mereka tak pernah tahu bahwa arwah Aziz Satar (ahli terakhir trio Bujang Lapok yang aku lihat sebagai ‘tanda aras zaman kegemilangan industri filem Melayu’) akan meninggalkan kita dengan patah kata ini sewaktu mereka bikin filem tersebut, namun Tuhan benar lebih mengetahui. Dan filem ini kemudian aku lihat punya sesuatu yang melebihi dari sebuah filem yang bukan hanya dibentuk oleh seorang pembikin filem. Malah ia juga dibentuk oleh takdir yang telah ditetapkan oleh Tuhan yang maha Esa. Yang dibentuk terbaik dari langit.

Dan benar aku mengucap dua kalimah syahadah kala menonton filem ini. Dan tak pernah aku mengucap ketika menonton, atau bila aku mengucap itu bermakna sama ada filem itu terlampau aku tak boleh terima kebodohannya atau ia terlampau baik sehingga aku sendiri seperti tidak percaya yang aku sedang tonton filem yang sangat baik.

Dan bergerak dari hal ini, yang aku nampak jelas dalam naratif filem ‘Terbaik Dari Langit’ kemudian adalah tentang rasa pembikin filem muda yang jujur dan ikhlas bercerita tentang cinta mereka pada filem dan dunia sinema. Dalam filem’Terbaik Dari Langit’ ini terlalu banyak yang boleh diperkatakan maka aku akan hanya memperkatakan tentang kejujuran mereka yang membikin filem ini, kerana pada aku itu yang paling jelas dan lebih bermakna mungkin untuk aku sendiri. 

Ia mungkin dilihat sebagai sebuah road movie dan homage sinema Malaysia ‘secara umum’. Tapi aku tak akan selesaikan tulisan ini hanya ‘secara umum’.

Naratif filem ini tentang sekumpulan sahabat yang asalnya datang dari satu ruang dan idea yang sama kemudian terpisah bila masing-masing meneruskan kehidupan lalu disatukan kembali dalam perjalanan explorasi idea watak Berg, salah seorang dari kumpulan sahabat ini yang merupakan seorang pengarah filem muda esentrik (lakonan yang sangat baik oleh Bront Palarae). Dalam perjalanan ini mereka dianjurkan dengan idea untuk mencari ‘UFO’ yang kita/penonton tidak ketahui benar atau tidak kewujudan idea itu (yang kemudian aku letakkan ‘UFO’ itu sebagai simbol kepada sesuatu). Dengan gagasan idea ‘mencari sesuatu’ ini, kumpulan sahabat ini dianjurkan untuk bersemuka dengan kehidupan yang telah mereka tinggalkan. Kehidupan yang sebenarnya menjadikan diri mereka yang sebenar. 

Kita/penonton turut sama dibawa merasai pengalaman pengembaraan ini untuk sama-sama memahami idea ‘sesuatu’ itu. Dan hanya dengan melalui pengalaman pengembaraan ini kita akan dapat memahami dan turut sama mencari makna kepada idea ini. Perjalanan yang akan turut sama mengubah sudut pandang kita/penonton tentang ‘sesuatu’ itu yang bukan sahaja dicari dan akan terkesan oleh watak-watak dalam naratif filem, lebih dari itu, kita/penonton juga turut sama mencari dan sama terkesan. 

Keseluruhan imej dalam filem ini jelas punya rasa, setiap gerak watak dan visual juga punya perasaan yang jujur. Filem Terbaik dari Langit ini benar memberikan sebuah paradox cinematic dengan alam sci-fi yang sangat mengkagumkan sifar pretentious. Kejelasan pada imej dan paradox cinematic filem ini jugalah yang benar menjelaskan perasaan pada assent naratif filem tersebut iaitu kejujuran.

Dalam ruang naratif ini juga, kita benar diserap perlahan dalam watak-watak itu, dari awal dibentuk jujur dan tersusun saling berhubung, punya cause dan effect yang sempurna, dan merasai jiwa mereka. Kita benar akan memahami melalui pengembaraan tentang makna yang ingin disampaikan melalui idea ‘mencari UFO’ itu. 

Juga patah kata watak yang punya isi akan perlahan meresap dan kemudian hidup selamanya. Begitu baiknya filem ini.

“.. benda ni meresap perlahan dalam kepala, berdengung!” jelas Ijam pada Ali dan Toyu tentang gagasan idea Berg tentang ‘sesuatu’ itu yang menjelaskan bahawa kita tak perlu memahaminya untuk merasainya. You don’t have to understand it clear just to enjoy life.

Perlahan juga, watak itu bergerak dalam pengembaraan mencari makna untuk membebaskan diri mereka yang terperangkap dalam diri mereka sendiri, Dan itu juga yang cuba dijelaskan dari awal melalui watak Berg, dan bila watak-watak dalam filem ini menemui kebebasan ketika mereka menari-nari dalam derai hujan, menikmati momen ruang dan masa tanpa mereka peduli nostalgia mahupun masa depan. Alam yang dicipta Tuhan. Kejujuran imej ini tampak jelas dan kita/penonton turut sama merasai kebebasan mereka, turut sama membebaskan kita buat seketika.

Yang kemudian dilihat sebenarnya pembikin filem muda ini mahu mencari ruang kebebasan untuk bercerita tentang hal yang dekat dengan mereka, dengan jujur.

“You suka fizik? Bila tertekan, kita akan cari ruang,” Sharifah Amani

“Itu kome ni, gemo benar buat cerita tahyul, hantu, zombie,” Mamat Khalid. “Bolehlah kome ganti Ahmad Idham. Dengar kata dia dah mula buat katering,” Mamat Khalid pun faham dengan idea ini.

Namun yang paling jelas dalam filem ini, kesemua pelakon dalam filem ini berjaya membina persefahaman yang sangat menakjubkan, memberi kekaguman yang luar biasa dalam menghidupkan sebuah naratif filem, ‘hubungan persahabatan’ yang hampir sama seperti pernah kita rasa dulu dalam filem Bujang Lapok. Persaaan bila watak dalam filem dapat dirasa, terasa dekat dan jauh. Begitu hebat ‘hubungan’ yang dibentuk oleh pelakon-pelakon filem ini, sehinggakan jelingan mata mereka sahaja mampu memberikan indikasi jelas bahwa mereka sedang berkomunikasi. Atau tanpa mereka berkata apa, dalam ruang sempit sebuah van (Jembalang) pun kita nampak jelas dan rasa mereka masing-masing sedang berkata dan berhubung dalam tutur gaya bahasa tubuh.

Seperti hubungan mereka benar haul, dan sesuatu itu bila sudah haul mudah dibentuk oleh pengarah. Menghilangkan segala yang menyusutkan menjadikan konteks penyampaian disampai dalam bentuk yang lebih mudah kerana hal yang mudah ini akan hanya tinggal akarnya – iaitu manusia dan masaalah mereka dalam hubungan mereka. Dan yang tinggal hanya kasih dan sayang antara mereka. Bentuk penyampaian yang ‘haul’ dan ‘mudah’ sebegini jarang kita temui dalam ruang sinema Malaysia yang dulu hanya mungkin ada dalam filem arwah Yasmin Ahmad.

Walaupun kesemua pelakon dalam filem ini berjaya membawa watak mereka sebaiknya untuk naskhah filem tersebut. Namun, aku harus beri kredit kepada kejujuran lakonan Amerul Effendi yang membawa watak Toyu@Khairuddin yang telah berjaya memberikan perasaan itu lebih jelas timbul di permukaan naratif, membantu menjentik semangat yang sangat indah lantas menghidupkan lagi filem tersebut.

Menarik adegan watak-watak ini berenang dalam laut benar terasa semangat sinema itu di layar lebar, seperti membawa kita/penonton bersama merasai kebebasan yang kita turut sama cari sewaktu menonton filem tersebut. Semangat pembikin filem muda meraikan cinta mereka.




Akhirnya idea ‘mencari UFO’ atau apa makna ‘UFO’ itu sendiri seharusnya dilihat sebagai sebuah idea yang harus dibuka dengan interpretasi. Kerana idea ini mampu dilihat sebagai hal yang kesemua watak cari. Lihat riak wajah Ali, Ijam, Toyu dan Sofea Jane bila watak Berg dibawa naik ke arah ‘UFO’ ini. Masing-masing punya idea masing-masing apa sebenarnya makna ‘UFO’ ini. Dan Kita penonton juga lihat sebegitu. Apa yang kita sendiri mahu percaya. Dan ‘UFO’ ini juga membawa aku teringat kepada perkataan ‘Rosebud’ dalam filem Citizen Kane arahan Orson Wales.

Filem Terbaik Dari Langit benar punya semangat sinema dan filem ini harus ditonton di sinema untuk merasai sepenuhnya semangat ini. Seperti kita harus tonton filem ‘Life of Pi’ dalam panggung IMAX 3D untuk merasai sepenuhnya semangat naratif filem tersebut. 

“Cinema and film must have it spiritual” Andrei Tarkovsky.

Hampir sudah aku lupa bila kali terakhir aku keluar panggung dengan perasaan yang puas selepas menikmati sebuah filem sesempurna ini. Yang punya semangat sinema yang luar biasa. Yang benar terbaik dari langit. 

Rebiu ringkas lelaki harapan dunia ; tentang arah tuju majoriti yang menggelikan hati



"hanya garis halus yg memisahkah antara karut dan kebodohan" 

Lelaki Harapan Dunia sebuah filem oleh Liew Seng Tat, tentang Impian seorang manusia dengan harapan yang tinggi yang kemudian jatuh pada obsesi dirinya sendiri. (kalau hal ini pun kau tak nampak, maka kau ada masaalah concentration deficit disorder mungkin)

Dalam naskah naratif filem Lelaki Harapan Dunia, Seng Tat jelas bercerita tentang budaya masyarakat di negaranya (ironi dalam filem ini semuanya melayu dan yang watak cina pun dalam jasad lelaki melayu).

Tunjang filem ini adalah tentang arah tuju masyarakat itu yang ditentukan oleh majoriti masyarakat (yang semuanya melayu).

Dan sesuatu pada watak kanak-kanak dalam naratif itu memberi petanda yang Seng Tat sedang bercerita tentang negaranya, yang dalam naratif kelompok masyarakat melayu (aku sebut sebagai majoriti).

Filem ini dibuka dengan imej kabur perlahan ditumpukan pada landskap naratif yang sebenarnya mindskap kelompak manusia dalam landskap ini (aku lihat sebagai majoriti) meredah mindskap mereka mencari sesuatu. Dan tanpa memperlihatkan hal yang dicari, kita dijelaskan tentang sifat majoriti yang hidup dalam lingkungan budaya yang menyenakkan dilihat bila mereka percaya 'dengan memukul kompang' mampu menghalau hantu/bala. Seawal imej pertama, kita sudah jelas dianjurkan tentang tunjang keseluruhan naratif berikutnya dalam filem ini.

'untuk lihat dengan jelas apa yang mahu diperkatakan oleh pembikin filem tentang naratif yang diceritakan, lihat pada ruang dan masa latar (milieu) naratif tersebut'

Menarik bila establish shot landskap naratif bukit hutan (aku sebut mindskap) yang berkabus di hujung horizontal perkampungan yang menjadi pembukaan ruang naratif memberi diksi jelas tentang milieu majoriti ini.

Dalam mindskap ini, melalui watak Pak Awang, watak utama dalam filem ini yang dilakonan dengan sangat baik oleh Wan Hanafi Su diberi diksi jelas bahwa melalui watak Pak Awang, suara Seng Tat kedengaran, punya impian untuk "angkat" rumah 'Amerika'  untuk dipindahkan dari semak hutan ke kawasan kampung yang lebih lapang. Seng Tat bercerita tentang impian cuba dibawa keluar dari semak mindskap majoriti.

Sense of humor Seng Tat sebagai pembikin filem yang punya kuasa mutlak pada naskah yang hendak diceritakannya itu dilihat jelas punya diksi sinikal pada beberapa isu masyarakat negaranya yang merupakan majoriti masyarakat yang menentukan arah tuju negaranya. Dan ini sebenarnya menyenakkan pemikirannya diperlihatkan dalam naskah naratif Lelaki Harapan Dunia dalam bentuk komikal - dan komedi itu sifatnya suatu kritikan.

Walau idea filem ini masih relevan dan masih boleh diguna pakai (thanks to industri kita yang belum punya perubahan pada arah tuju) cuma Mamat Khalid dah bikin isu yang sama dalam konteks yang sama hampir 10 kali mula dari telemovie Rombongan Cik Kiah lagi tanpa dana dari Hubert Bals, Sundance dan lain-lain dana luar negara untuk membolehkan Mamat Khalid menggunakan isu majoriti masyarakat yang menentukan arah tuju negaranya dilihat sangat menggelikan hati (sebenar its a very funny country) agar dapat kita gelakkan isu ini bersama.

Selain sense of humor Seng Tat sebagai storyteller yang baik, aku juga suka watak 'Cina' lakonan Azhan Rani - lelaki Cina dalam jasad Melayu yang punya nahu kaki bakar.

Menarik bila watak bilal buta lakonan Jalil Hamid (rilek azan pun pakai ray ban uolls) yang seharusnya menjadi rujukan pada majoriti tak mampu membantu beri arah tuju yang lebih jelas pada majoriti ini.

Jelas Seng Tat ada hal dengan melayu (majoriti) masyarakat negaranya yang menentukan arah tuju negaranya tanpa dia dapat buat apa, sampai dia naik minyak persis Marlon Brando dalam filem Apocalypse Now.

Dilihat apabila matlamat masyarakat ini yang dari awal dipesongkan oleh pemikiran majoriti masyarakat itu yang kemudian menolak suara pak awang yang tanpa lelah cuba menjelaskan tentang perubahan yang seharus menentukan arah tuju masyarakat itu. Dan bila suara pak awang (dilihat suara pengarah) diletakkan sebagai suatu obsesi yang dikatakan sebagai mementingkan diri, tiada apa lagi yang mampu dilakukan selain untuk memberontak dalam nahu dendam.

Filem ini diakhiri dengan watak Pak Awang, mewakili suara Seng Tat dikejar oleh majoriti masyarakatnya kembali ke dalam mindskap yang gelap dan memberi indeks tiada perubahan akan berlaku pada arah tuju majoriti ini yang cuba diubah oleh suara Seng Tat.

Naskah filem Lelaki Harapan Dunia ini masih sangat baik bila satira komedi dari sense of humor Seng Tat pengarah filem ini dilihat jelas punya suara sinikal tentang masyarakat negaranya. Dilihat pada watak yang digarap baik dan dilakonkan oleh barisan pelakon yang sangat baik. Kudos!

p/s : siapa yang ambil kesah hal lelaki pakai baju perempuan itu sememangnya tak berapa bijak sebab dalam filem ini, lebih banyak hal yang lebih besar yang harus diambil kira.

and by the way brader, rileks lah. its a joke anyway. can't take a hint?

Dunia Apokalips Mamat Khalid Yang Sekian Lama Ditunggu!


Perang Kimia telah memusnahkan dunia dan hanya meninggalkan sekumpulan anak muda yang berjuang untuk terus hidup.  Tiga orang pahlawan utama yang tinggal selepas peperangan tersebut iaitu X (Farid Kamil), Sri Gala (Peter Davis) dan Kala Jengking (Jehan Miskin). Masing-masing mempunyai pengikut tersendiri yang begitu taat kepada mereka. Apokalips X mengisahkan perjuangan geng-geng tersebut dalam usaha menegakkan keamanan melalui perjanjian damai walaupun wujudnya rasa dendam dan benci di antara mereka.  X yang digeruni pada zaman kegemilangannya dahulu bertekad untuk tidak berperang lagi sampai bila-bila.
Tetapi perjanjian damai yang telah memberhentikan perang kimia dan pertempuran maut satu ketika dahulu menjadi semakin terancam apabila Aman Chai (Adam AF), pengikut utama X jatuh cinta kepada anak kesayangan Sri Gala iaitu QiQi (Miera Liyana). Pergelutan yang tercetus akibat daripada hubungan cinta tersebut dan juga hasutan Kala menyebabkan QiQi tercedera parah. Sri Gala yang meradang dengan kejadian itu bertekad mahu keluar daripada perjanjian damai yang telah termeterai bertahun lamanya.
Apabila ketegangan antara X dan Sri Gala semakin memuncak, Kala yang gila kuasa pula mengambil kesempatan dengan merancang tindakannya untuk menjatuhkan kedua-dua geng tersebut. Kala berjaya menambahkan bilangan pengikutnya disamping bersiap sedia untuk membuat serangan.
Peperangan yang pernah memusnahkan segalanya sudah pasti akan berulang. Sanggupkah Aman Chai, QiQi dan anak-anak muda yang lain bertahan dan terus hidup? Adakah X akan setia berpegang kepada pendiriannya untuk tidak berperang setelah bersetuju dengan perjanjian damai satu waktu dahulu?Apakah Kala berjaya menguasai semua kawasan seperti yang diimpikannya? Nantikan Apokalips X, 3 April 2014 di pawagam.