Perang Kimia telah memusnahkan dunia dan hanya meninggalkan sekumpulan anak muda yang berjuang untuk terus hidup. Tiga orang pahlawan utama yang tinggal selepas peperangan tersebut iaitu X (Farid Kamil), Sri Gala (Peter Davis) dan Kala Jengking (Jehan Miskin). Masing-masing mempunyai pengikut tersendiri yang begitu taat kepada mereka. Apokalips X mengisahkan perjuangan geng-geng tersebut dalam usaha menegakkan keamanan melalui perjanjian damai walaupun wujudnya rasa dendam dan benci di antara mereka. X yang digeruni pada zaman kegemilangannya dahulu bertekad untuk tidak berperang lagi sampai bila-bila.
Tetapi perjanjian damai yang telah memberhentikan perang kimia dan pertempuran maut satu ketika dahulu menjadi semakin terancam apabila Aman Chai (Adam AF), pengikut utama X jatuh cinta kepada anak kesayangan Sri Gala iaitu QiQi (Miera Liyana). Pergelutan yang tercetus akibat daripada hubungan cinta tersebut dan juga hasutan Kala menyebabkan QiQi tercedera parah. Sri Gala yang meradang dengan kejadian itu bertekad mahu keluar daripada perjanjian damai yang telah termeterai bertahun lamanya.
Apabila ketegangan antara X dan Sri Gala semakin memuncak, Kala yang gila kuasa pula mengambil kesempatan dengan merancang tindakannya untuk menjatuhkan kedua-dua geng tersebut. Kala berjaya menambahkan bilangan pengikutnya disamping bersiap sedia untuk membuat serangan.
Peperangan yang pernah memusnahkan segalanya sudah pasti akan berulang. Sanggupkah Aman Chai, QiQi dan anak-anak muda yang lain bertahan dan terus hidup? Adakah X akan setia berpegang kepada pendiriannya untuk tidak berperang setelah bersetuju dengan perjanjian damai satu waktu dahulu?Apakah Kala berjaya menguasai semua kawasan seperti yang diimpikannya? Nantikan Apokalips X, 3 April 2014 di pawagam.
No comments:
Post a Comment