Rebiu filem Jwanita – kekeliruan jiwa Jwanita



Filem Jwanita tulisan dan arahan Osman Ali yang ke 8 selepas filem Anak Halal, Puaka Tebing Biru, Jiwa Taiko, Sejoli, Cun, Ombak Rindu & Pilot Café. 

Menarik bila pembukaan filem Jwanita diberikan jelas penuh dramatik, bila watak Jwanita di tengah tasik hitam, gelap, berdiri membaca mantera dan bermandikan darah. Kemudian justoposisi imej itu dicantuman dengan imej watak Jwanita berjalan dalam lakon layar penuh puitis, melangkah di atas lopak berselut, dan berjalan keluar ke arah ruang yang lebih lapang, dan kemudian watak Jwanita memandang ke belakang ke arah ruang kotor dari ruang yang cerah tadi, meninggalkan kita (penonton) dibelakangnya (di ruang kotor) memberikan diksi jelas membentuk keseluruhan naskah filem Jwanita.

Adegan yang seterusnya juga begitu jelas membina naratif Jwanita, bila watak Jwanita (masih kecil) mencari adiknya dengan penuh amarah. Dan naratif filem Jwanita bergerak jelas dan kemas dari adegan itu, diberikan jelas satu persatu bagaimana seorang anak kecil (perempuan) yang dibesarkan dengan ruang yang kelam, dan kotor kemudian membesar menjadi seorang wanita yang rapuh dan keliru. Ini diberikan dengan baik oleh Osman. 

Hanya naratif yang jelas dan kemas ini tidak digarap sebaiknya. Naskah Jwanita yang seharusnya begitu gritty, kotor dan gelap diselimuti oleh keindahan bahasa filem Osman Ali yang masih percaya bahwa penonton filem Malaysia masih mahukan jiwa yang diombak dengan rindu, sedangkan naskah Jwanita memerlukan ketulusan dan justify untuk membenarkan jiwa naskah Jwanita lebih hitam. Atau jika tidak hitam, Osman setidaknya memberikan sesuatu yang baru dari segi pembentukkan ruang dan masa naskah filem Jwanita.

Lanskap filem Jwanita secara keseluruhan juga tidak punya rasa yang konsisten. Masih ada lagi imej laut dalam bahasa puitis dalam naskah yang seharusnya gritty. Masih ada lagi rumah banglo besar Pilot Café yang tampak pura-pura dan tidak realistik. Masih ada lagi watak ibu-ayah yang terasing dalam naratif, tampak menjengkelkan. Masih ada lagi pelakon kanak-kanak yang tidak bersatu dalam naskah naratif dan seperti hilang arah. Dan masih ada lagi rumah kediaman/milieu watak yang seperti hotel tampak begitu terasing dengan watak.

Yang paling mengganggu, masih ada lagi gambar dalam frame di atas meja yang nampak begitu pura-pura, seperti ditampal, menjengkelkan.

Hanya yang menarik, bagaimana landskap bangsal di belakang rumah Dr. Farhan yang kemudian menjadi tempat watak Jwanita memuja dan menyimpan mayat yang dibunuhnya, tampak begitu kukuh dalam kekusutan, semak, gelap dan kasar lantas memenuhi ruang naratif Jwanita dengan baik.

Milieu dan watak dalam naratif harus saling timbal balik dengan jelas, namun dalam naskah Jwanita ia nampak terasing dan kosong.

Namun menarik melihat bagaimana Osman Ali meraikan filem ‘Dukun’ arahan Dain Said yang dibunuh LPF Malaysia tak lama dulu. Landskap filem Dukun di dalam ruang rumah dukun yang dilakonkan oleh Datin Umie Aida (juga pelakon utama filem ‘Dukun’) di beri nafas dalam naratif filem Jwanita tampak kasar dan telus pada naratif. Ini homaj Osman pada Dain mungkin.

Kekeliruan Jwanita yang paling jelas adalah genre filem tersebut bila sebuah naskah yang seharusnya berdiri di atas genre ‘psychological thriller’ diberi label ‘psychological horror’ di tangan Osman dan Julian (penerbit filem). Ruang dan nafas Jwanita akan berdiri lebih kukuh jika Osman menggarap dan membentuk naskah naratif Jwanita di dalam ruang psychological thriller.  Kewujudan hantu yang tak punya sebarang diksi jelas dalam naratif tampak tidak memberi sebarang kesan kepada perkembangan naratif ditambah lagi dengan zombi (mayat hidup) yang ditampal di tengah naratif tampak janggal dan mengganggu keseluruhan naratif.

Runut bunyi (sound design) filem Jwanita juga tidak langsung membantu memberikan sesuatu yang baru dalam naskah filem Jwanita. Masih ada lagi soundtrack muzik yang seakan muzik video yang kemudiannya membunuh jiwa naskah Jwanita. (babak Jwanita yang dalam kekeliruan, diberikan lagi kekeliruan bila lagu OST muzik yang ditampal pada adegan tersebut dan akhirnya ia kelihatan seperti sebuah muzik video yang janggal). Sound design seharusnya membantu emosi naratif berkembang dengan jelas, memberikan penonton ‘signifier’ yang utuh, menzahirkan perkembangan naratif. Dan bila OST yang ditampal ia tampak tidak matang. Dan kemudian jelas, memperlihatkan bagaimana Osman Ali sebagai sutradara.  

Jelas naskah filem Jwanita masih lagi percaya pada formula runut bunyi Ombak Rindu walaupun dalam emosi naratif yang seharusnya hitam dan mati.

Dan kekeliruan ini yang benar mengganggu pembentukkan naratif dan akhirnya membunuh naskah filem Jwanita. Seperti mana Jwanita membunuh Nona (lakonan baik Marsha Milan).

Kekeliruan Jwanita kemudian disogokkan lagi dengan kecompangan naratif yang tidak langsung dihiraukan oleh sang sutradara. Bagaimana di dalam adegan klimaks di pengakhiran cerita, sebelum watak Jwanita membakar dirinya hidup-hidup, diberi suatu pencerahan yang tidak langsung membantu, bila imej Dr. Farhan (lakonan Bront) di atas katil bersama Jwanita berduaan, berjanji untuk setia mencintai sehingga akhir hayat, dan imej itu tidak langsung punya rentetan yang utuh untuk membenarkan imej itu wujud sebagai suatu pencerahan. Kerana Dr. Farhan melalui lakonan Bront tidak langsung memberikan sebarang indikasi jelas bahwa mereka pernah bercinta, dan bagaimana watak Jwanita mulai obsess pada watak Dr. Farhan. Dan kemudian pencerahan adegan itu benar mengelirukan naratif yang tidak seharus begitu kecamuk lantas membunuh emosi ruang. Bagaimana Jwanita boleh begitu obsess pada Dr. Farhan juga tidak dibentangkan dalam naratif dengan jelas. Ini juga turut membunuh potensi paling menarik bila imej watak Dr. Farhan mati diterbakar hidup-hidup dalam dakapan Jwanita. Mengecewakan bila 'a beautiful sin' ini tidak punya makna dalam naratif Jwanita kerana tiada sebarang pencerahan yang lebih utuh.

Hanya cukup sekadar dialog Dr. Farhan ‘kau pandang mata aku” sudah boleh membikin jiwa seorang wanita yang keras (dilihat keras bila dia membunuh dan mencincang manusia hidup-hidup) begitu obsess?

Pertemuan watak Jwanita dengan adiknya Julaika (lakonan Suzzane) juga dihalalkan dengan begitu klise, bila Julaika membaca surat khabar Harian Metro dan kebetulan tunangnya Dr. Farhan (lakonan Bront) ada  di situ dan menyedari gambar kakaknya Jwanita yang sudah lama tidak ditemuinya di muka surat khabar dan kebetulan Jwanita pesakit Dr. Farhan? Ini pembentukkan naratif yang lapuk dan tidak seharusnya dihalalkan lagi. 

Osman Ali sebagai penulis juga pengarah yang berpengalaman seperti tidak langsung bertanggung-jawap dalam meninggalkan kecompangan naratif ini tanpa rasa bersalah. Ini seharusnya dapat dilihat olehnya jelas sebelum atau setidaknya ketika Osman sedang membentuk naskah tersebut.

Dan Selepas 8 filem, Osman Ali jelas masih lagi berada di lopak ‘pemikiran’ yang sama dalam bahasa filemnya. Osman seharusnya lebih matang dalam membina naratif Jwanita kerana sebagai seorang pengarah yang berpengalaman, seharusnya dia sudah dapat melihat lebih jelas bagaimana/justice seharusnya untuk membina naratif Jwanita dan memberikan sesuatu yang baru ‘fresh’ dari segi pembinaan lakon layar, emosi ruang dan naratif dalam naskah filem Jwanita. Dan akhirnya yang dibentuk olehnya dalam filem Jwanita adalah filem dengan struktur Ombak Rindu versi Seram. Hal yang sama juga dalam filem Puaka Tebing Biru. 

Namun lakonan Maya Karin sebagai Jwanita harus diangkat dan diraikan kerana hanya Maya sebagai Jwanita benar berdiri di atas naratif tampak jelas dan utuh. “dan kau benar harus takut pada Maya kerana dia Jwanita.” 

Jelas, Maya sebagai Jwanita seperti membunuh keseluruhan kekeliruan rasa yang dibentuk dalam naskah filem Jwanita yang menyenakkan dalam dirinya, dan ini harus diraikan.



2 comments:

  1. Saya bersependapat dengan pengulas filem ini. Baru smlm tengok jwanita dan sy tak rasa apa-apa yang meninggalkan kesan dlm hati sy utk diingati. Jwanita boleh digarap dengan lbh baik lagi seandainya ceritanya dikembangkan lagi bagaimana Dr. Farhan membuatkan jiwa Jwanita jadi tak menentu. Tak cukup hanya memberi harapan di atas katil. Idea2 yg dah lapuk. Ilmu hitam yang Jwanita perolehi juga mengelirukan sy. Apakah dia belajar atau diturunkan saja ilmu hitam itu? Ah sayang sedikit saja watak Umie Aida tu. Ada setan di kepalanya tagline Jwanita kan? Hmm jangkaan sy utk cerita ini btul2 tinggi sebenarnya. Sy berikan kredit kpd Maya Karin dan Cristine Suzzane dlm cerita ini. Oh ye sy tak suka masa Jwanita menyanyi ala-ala macam filem Pontianak Harum Sundal Malam tu. Haih ganggu. rating dari sy 2.5/5

    ReplyDelete
  2. Masa bila part yg atas katil tu berlaku antara dr farhan dan jwanita? Bila mereka menjalinkan hubungan? Saya masih tidak faham...

    ReplyDelete