Melihat perkembangan industry perfileman negara kini, semacam memperlihatkan gelombang positif era baru kebangkitan kegemilangan filem Malaysia. Industri perfileman di warnai dengan kepelbagaian genre, tema, dan juga bentuk persembahan naratif. Yang diberikan pengisian yang tersusun mengikut rentak sang pemalu gendang (FINAS) meletakkan dan menyusun filem-filem malaysia yang ditayangkan (mengikut peraturan wajib tayang) mengikut rentak penonton filem kita. Pada zahirnya, penyusunan strategi ini adalah usaha positif yang dibuat untuk mengawal serta membantu industry filem negara agar terus deras berdenyut, bernyawa dan memberikan kesan positif pada ekonomi negara. Melihat sambutan penonton di pawagam kini meyakinkan, apabila filem-filem Malaysia berjaya mengutip kutipan jualan tiket yang tinggi dan memberansangkan. Lihat filem-filem Malaysia yang berjaya di panggung (Box-Office) seperti filem Kongsi yang berjaya mengutip kutipan sebanyak RM 10 juta, Hantu Kak Limah Balik Rumah, mengutip kutipan RM 8 juta, Khurafat - RM8.1 juta, Adnan Sempit – RM 7 juta, Hikayat Merong Mahawangsa - RM6.5 juta, Sini Ada Hantu - RM1.3 juta, Kembar Siang - RM1.2 juta, Cun - RM1.1 juta dll. Ini jelas memperlihatkan bahawa filem Malaysia kini berjaya menarik tumpuan penonton tempatan, walaupun dilonggokkan bersama filem-filem besar Hollywood, Hong-Kong, Jepun dan lain-lain. Filem Nur Kasih The Movie yang baru-baru ini di tayangkan di pawagam juga memperlihatkan sambutan yang menggalakkan dari penonton tempatan. Corak pergerakkan dunia wayang di negara kita kini sudah mula bergerak deras, menganjurkan kepelbagaian bentuk filem, genre serta tema, semacam kilang fantasi kepada masyarakat dunia pasca moden yang tersepit dan dihimpit, mencari eskapis dari kehidupan. Apa lagi yang mampu mereka buat di malam Jumaat selain menonton wayang. Kilang fantasi yang menganjurkan jutaan ringgit pada si-pemodal! Sang-pemodal ini pula mengangkat bintang bagai kilang dengan memberikan modal gosip personalitas, untuk dijual kepada masyarakat. Yang aku kira, perkara ini berkesan, dapat dilihat pada kejayaan filem Kongsi, Adnan Sempit, Hantu Kak Limah Balik Rumah yang meraih kutipan yang amat memberansangkan, selepas bintangnya di keluarkan oleh kilang (industry) sebagai bintang paling popular. Ini juga tidak menjadi masaalah kerana bintang yang di anjurkan itu juga adalah ciptaan masyarakat sendiri. Namun dalam kepelbagaian yang di anjurkan kilang fantasi ini, kemana kah arah tuju industry filem Negara kita? Quo Vadis?
Aku tidak mahu menyentuh tentang soal memuliakan dan memartabatkan dunia seni filem di mata dunia, kerana perkara ini terlalu klise waima pada zahirnya masih jauh, walaupun minority pembikin filem muda seperti Tan Chui Mui, James Lee, Deepak Kumaran, Ho Yuhang dan beberapa lagi telah pun membuktikan bahawa filem Malaysia sudah pun diangkat, dihargai dan di iktiraf di mata dunia, bergerak dari pelopor usaha arwah Yasmin Ahmad. Selain itu, filem Mamat Khalid sendiri telah berjaya di tayangkan di serata Eropah dan ini membuktikan kewujudan dunia seni filem negara kita di persada antarabangsa. Walau-bagaimanapun, karya-karya pembikin filem muda ini, tidak pula diangkat sebagai karya kormersial, hanya kerana bentuk dan pengisian filem-filem mereka menongkah tradisi kelaziman penerimaan penonton filem tempatan. Dan sekiranya filem Tan Chu Mui, a year without a summer, ditayangkan di pawagam, penerimaannya tidaklah akan sehebat filem Kongsi, yang berjaya menambat hati penonton seluruh pelosok bumi tanah Malaysia dan aku rasa jumlah kutipan tiketnya akan separa dengan kutipan filem Toyol Nakal, arahan Z. Lokman yang baru-baru ini di putarkan di pawagam.
Namun perkara ini bukanlah suatu isu baru, dan permasaalahan ini jelas di-lihat oleh karyawan serta mereka yang bertanggung-jawap. Namun yang menjadi masaalah, semacam sudah jatuh di timpa tangga, apabila industry filem menjadi medan sang-politikus, dengan agenda untuk mengusai pergerakkan industry filem Negara, meletakkan kuasa pada sang-opportunist untuk menjadi kuasa besar monopoli industry, yang mampu meletakkan diri mereka di hadapan. Namun, pada pengamatan rasional, ini juga adalah lumrah kehidupan, yang lemah menjadi mangsa, kemudian menurut system yang dianjurkan pemain politik industry filem kita.
Atas dasar ini, sekali lagi membawa ke-isu, kemanakah arah filem Malaysia?
Secara terang dan jelas kini, industry filem Malaysia sudah mula mencorak golombang besar yang akan membadai persada filem negara, dengan terhasil filem-filem berkualiti anak Malaysia seperti Bunohan, arahan Dain Said, Apokalip X, arahan Mamat Khalid, Hanyut/Almoyer Folley arahan U-Wei Hj. Shaari, juga filem seperti Merong Mahawangsa, Puteri Gunung Ledang dll. filem Malaysia yang baik dan menarik. Tetapi, kemana hilangnya filem-filem yang punya kualitas pada penggunaan bahasa filem yang hebat? Seperti filem Pelangi Petang arahan Sharom Md. Dom, Fenomena, arahan Aziz M. Osman, Kembara Seniman Jalanan dan Rozana Cinta 87 arahan Nasir Jani, Johny Bikin Filem arahan Anuar Nor Arai atau juga mungkin kah kita dapat melihat kelibat filem Seman, arahan Mansor Puteh, kembali dalam bentuk yang baru?
Adakah pembikin filem kini “snail” dan tidak mampu lagi untuk menghasilkan karya-karya hebat? Atau adakah penonton kita yang tidak mahukan naskah-naskah filem sebegitu? Disini lah kita harus sedar bahwa pentingnya untuk menggerakkan titik-tolak soal kualiti, membuka dan menyedaran pembikin serta penonton tentang kualitas. Bukan bertujuan untuk menghasilkan revolusi, menjadikan sang penikmat filem (penonton) menjadi mereka yang menelaah. Dan kiranya perkara ini terjadi, ia merupakan sesuatu perkara yang positif kerana ia memberikan petanda bahawa masyarakat kita sudah mula berada di tahap yang lebih intelek, cerdik dan matang!
Penggunaa bahasa dalam filem. Bagaimana bahasa filem digunakan sebaiknya dalam mengangkat ruang naratif sepenuhnya untuk menarik penonton, memberikan tumpuan, untuk sama-sama merasai sensasi emosi watak dalam naratif anjuran sang pencerita-storyteller. Dan bahasa filem ini bukan sahaja pada shot, close-up, long-shot atau juga medium shot, tidak juga hanya pada mise-en-scene, waima gerak tubuh lakonan pelakon. Malah bahasa itu juga harus dilihat pada nada dan gaya (stail) penggunaan bahasa filem tersebut. Bagaimana nada dan gaya (stail) penggunaan bahasa digunakan sepenuhnya untuk meneroka sesuatu yang dapat menyentuh hati, semacam membuahkan inspirasi kepada penonton tentang kehidupan kita manusia yang sentiasa mahu di-isi pada kekosongan dalam diri anjuran kehidupan. Lihat bagaimana mak,ayah,atuk juga nenek kita dahulu mengisi kekosongan dalam diri mereka selepas tekanan (depression) oleh latar sejarah yang telah di-anjurkan pada mereka. Pada ketika itu, bintang diangkat dan dipuja, bermula bertapak dari persembahan pentas bangsawan, di-angkat oleh sang-pemodal asing dari China juga Hong-Kong ke layar perak di bumi tanah Malaysia. Dan kuasa filem digunakan sepenuhnya, memberikan kesan pada budaya hidup masyarakat ketika itu.
Bukan untuk menyatakan bahawa filem-filem di Malaysia kini harus punya keberatan pada bentuk dan pengisian naratif. Dan bukan pula untuk mengharapkan agar mentaliti penonton filem Malaysia harus dididik dan dibuka luas agar menerima sepenuhnya filem-filem yang punya bentuk begitu. Yang menjadi asas pergerakkan kepada perkembangan industry filem kita adalah pada kualiti. Sama-ada penonton juga pembikin, harus membuka minda, untuk mengenal apa itu kualiti, pada bentuk, isi, lakonan, marketing-juga branding. Dan pembikin filem harus tanpa sebarang alasan, memberikan kualiti itu dalam kerja bikin filem, sama-ada dari sudut lakon-layar, lakonan, pengarahan, kerja kamera juga pencahayaan, rekaan produksi, rekaan bunyi, latar naratif dan segala-gala dari semua sudut kerja bikin filem itu. Sang-pemodal (penerbit) juga kemudian harus memainkan peranan mereka dalam menjaga kualiti pada strategi pemasaran dan branding sesebuah naskah filem itu.
Industri wayang Negara, tidak harus lagi hanya berdiri sebagai kilang fantasi, yang membubuhkan/memojok penonton filem kita dengan fantasi-fantasi yang tidak punya kualiti lantas mengkhayalkan penonton kita. Bukan bermaksud untuk melihat *penting untuk kemajuan filem Negara, filem kita dijadikan bahan cemuhan dan segala-gala tentang filem tempatan memberikan imej keburukkan.
Namun, adakah kerana alasan dunia industry kita tidak sebesar dunia Hollywood atau juga Bollywood, yang punya khalayak seluruh dunia, diterima masyarakat dunia, yang mempu menganjurkan modal dan teknologi tercanggih dunia, untuk menghasilkan naskah filem berkualiti? Jadi bagaimana kah Orson Welles, menghasilkan karya agungnya Citizen Kane, atau mungkin De Sica, menghasilkanThe Bicycle Thieves, atau mungkin juga Truffaut, Antonioni, Eisenstein? Adakah kerana disebabkan teknologi, yang menjadi faktor karya filem mereka berkualiti? Atau mungkin yang lebih dekat, Hussein Hanif, P. Ramlee atau juga Jamil Sulong, adakah kerana dunia penerimaan filem mereka lebih besar yang menjadikan karya mereka lebih berkualiti? Atau mungkin juga Nasir Jani, Anwardi Jamil atau juga Mansor Puteh, memiliki teknologi ter-canggih dan modal yang besar, juga khalayak penonton yang lebih besar, menjadikan karya mereka hebat?
Siapa dia selepas Anuar Nor Arai? Atau mungkin pewaris pemikiran Hassan Muthalib? Hanya Abd. Samad Hassan, Ridhwan Saidi, Abror Rivai, dan hanya mereka-mereka sahaja kah yang mampu? Siapa mereka nanti selepas Mamat Khalid atau juga Yasmin Ahmad? Dimana mereka pewaris gagasan pemikiran Aziz M. Osman atau Othman Hafsham, juga Nasir Jani. Atau mereka (sang-idealis muda-pewaris gagasan pemikiran pembikin filem terdahulu) ini harus dibiarkan terus terpinggir, berniaga burger dicelah-celah kota?
Kemanakah hilangnya sentuhan sang pencerita dari Negara kita yang dulu pernah menghasilkan naskah filem seperti Sayang Salmah, arahan Mahadi J. Murad? Atau Jimi Asmara, arahan Erma Fatima? Atau mungkin juga karya-karya agung seniman Jamil Sulong, Hussein Haniff, Omar Rojik atau juga P. Ramlee. Tiada lagi kah manusia kreatif yang mampu melahirkan karya yang mampu diterima masyarakat seperti filem Antara Dua Darjat, juga filem Jebat tanpa mengabaikan kualitas kerja bikin filemnya? Kita dibesarkan dengan naskah filem-filem ini, dan tidak dinafikan industry filem tanah-air suatu ketika dulu lumpuh, pada awal tahun 70-an hingga lewat tahun 80-an, memperlihatkan kemurungan kreativiti juga sambutan penonton tempatan di pawagam, hasil dari timbal-balas kewujudan televisyen, yang mengakibatkan anjuran filem-filem yang tidak punya nyawa. Dan adakah kerana itu, hilang segala gagasan pemikiran idealistic, mati dihumban di dasar laut, tidak diketemui oleh generasi pembikin filem selepasnya? Kita merindui nostalgic gagasan kualiti pemikiran dalam naskah (visual-image) ini. Kemana kah hilangnya pemikiran Hussein Haniff, Jamil Sulong, P. Ramlee dan lain-lain. Kemana hilangnya susuk bakat Salleh Kamil, esakkan bat Latif dalam Batu Belah Batu Bertangkup, atau mungkin juga amarah Nordin Ahmad dalam filem Jebat. Dan kualiti itu sebenarnya menjadi pegangan keimanan dalam kerja bikin filem mereka. Menggunakan seluruh ruang-akal, untuk mengangkat gagasan idea, membentuk kualiti itu dengan amanah, menjadikan ia suatu ruang-naratif yang digunakan sepenuhnya, dengan menggunakan bahasa filem yang baik, meletakkan mutu lakonan yang tepat, menyampaikan isi dalam bentuk yang punya nada dan gaya (stail) *yang mampu dibicarakan oleh sang-penelaah (pengkritik) dan segala yang di-usahakan untuk mengangkat sesebuah naskah filem dilakukan dengan penuh kualiti. Tidak kira pada (mental-image) seperti hasil penulisan cerpen mahupun naskah novel, atau (visual-image) teater mahupun filem, penggunaan bahasa yang punya nada dan gaya ini yang menentukan kualitas sesebuah naskah cerita.
Atau adakah mungkin di negara kita, sudah ketandusan sang-pemikir intelek. Oleh kerana system sosial yang terbentuk oleh dunia pasca-moden kehidupan anjuran sang kapitalis yang menghimpit. Di Negara kita, dilihat terdapat dua kelompok idealogi pembikin filem dalam gagasan 1malaysia. Kelompok ini adalah, Malaysia-pengaruh barat (orang Malaysia yang cakap omputih) dan Malaysia asli (Melayu). Dan filem-filem dari kelompok Malaysia-barat ini punya kualiti yang menongkah tradisi kelaziman penerimaan penonton, yang menjadikan filem mereka semacam cult, underground dan anti-mainstream. Antara filem-filem mereka ini, The Big Durian & The Last Communist, arahan Amir Muhamad, A Night Without Summer, arahan Tan Chui Mui, End Of Day break & RainDog, arahan Ho Yuhang. Namun, dimana sang idealis muda dari kelompok Malaysia asli (melayu) ini? Hanya senior-senior seperti Mamat Khalid - Zombie Kg. Pisang & Hantu Kak Limah Balik Rumah, U-Wei - Hanyut, atau mungkin juga Dain Said dan Othman Hafsham. Dimana pelapis mereka? Dimana sang idealis, pembikin filem muda dari kelompok Malaysia asli (Melayu) ini yang se-angkatan dengan Ho-Yuhang, Amir Muhamad, Tan Chui Mui, Deepak Kumaran, Woo Meng Jin, Mark Teh dan lain-lain? Mungkin Namron antara idelaistik muda dari kelompok Malaysia asli (melayu) ini, tapi dimana yang lain? Jawapannya, bakat-bakat baru sang idealis muda ini hanyut dalam penipuan gagasan ilmu filem anjuran sekolah filem.
Maka disinilah fungsi Finas, untuk mengasah bentuk kualitas. Tidak lah pula kesalahan itu diletakkan pada bahu Finas waima mencemuh Finas atau sekolah filem sekalipun. Dapat dilihat bahawa pelbagai usaha telah pun di adakan untuk mengangkat kualiti industry perfileman Negara. Namun, finas harus lebih peka terhadup modul pendidikan filem yang di-anjurkan pada pembikin filem kita, pendedahan terhadap pencapaian kualitas seni filem harus lebih tinggi dan besar. Bermula dari pendidikan, tenaga pengajarnya juga harus lebih critical dan punya kemahiran yang specific. Tidak hanya mengadakan kelas-bengkel master, yang disampaikan oleh tenaga pengajar yang hanya lebih-kurang. Juga sekolah filem/universitas, harus juga lebih utuh pada nawaitu dan agendanya, iaitu melahirkan karyawan/pembikin filem yang berkualiti. Sekolah filem tidak harus lagi dibiarkan menipu sang idealis muda, yang mencari harapan tinggi untuk mencapai nikmat dalam kerja bikin filem. Sekolah filem/universitas tidak seharusnya lagi dibiarkan menipu dengan memberikan ilmu filem yang tiada arah tuju yang jelas, meletakkan tenaga pengajar yang hanya lebih-kurang, dan menjadikan sekolah filem sebagai lapangan mainan politikus, dimamah sang-kapitalis. Dan sekiranya perkara ini terus dipandang sambil lewa, maka sang-idealis muda ini akan terus hanyut tanpa arah tuju, sesat dalam longgokan “ilmu filem” yang tak punya paksi. Tanpa ilmu yang matang, sang idealis muda ini akan hanyut, tidak mampu berdiri, lantas untuk survive, mereka terhambat dalam industry filem kormersial yang tidak punyai paksi mahupun kualitas, dan mereka juga tidak diberikan ruang untuk menterjemahkan pemikiran serta kreativiti baru. Dan ada di antara mereka yang melarikan diri, bersembunyi di institusi kerajaan juga swasta, menunggu masa, peluang untuk keluar dan berjuang. Dan kerana ruang yang sempit, mereka mencari jawapan pada kekeliruan ilmu filem dalam negara, di Eropah, Australia, Amerika, dan sekembalinya mereka di tanah air, mereka tidak diberi ruang untuk berkarya oleh kuasa monopoli industry filem yang menghimpit. Lantas mereka ini juga terhambat dalam institusi kerajaan juga syarikat swasta. Perkara ini harus dipandang serius, kerana ia yang akan menentukan arah tuju filem Malaysia di masa hadapan! Satu kesatuan yang utuh dalam membentuk bakat-bakat pembikin filem, sang idealis muda ini, agar mereka lebih terbuka dan punya arah tuju yang jelas sama-ada dalam konteks kualiti, disipin pemikiran dan kreativiti. Ini sebenarnya tanggung-jawap Finas dan sekolah filem juga Universitas. Kerana mereka ini lah, yang akan menentukan arah tuju industry perfileman Negara di masa akan datang. Selain itu juga, festival filem dalam Negara juga harus lebih utuh pada credibilitynya. Menjadikan fungsi festival filem lebih bermakna, mengangkat kerja bikin filem yang berkualiti waima memberikan pendedahan kepada penonton filem tempatan tentang kualiti sesebuah kerja bikin filem itu sebaiknya. Festival filem tempatan tidak harus dibiarkan untuk terus menjadi boneka, mainan pemain politik sang-kapitalis.
Dan apabila segala ini di ambil serius, usaha untuk membendung, dan memperbaiki system penjanaan terusan karya filem yang berkualiti, juga memastikan pelapis pembikin filem, dibentuk dalam satu bentuk yang lebih utuh pada pemikiran serta ilmu filem yang lebih jelas, maka arah tuju industry filem kita akan lebih cerah di masa hadapan, yang akan menjanjikan industry filem kita beranjak jauh meninggalkan industry filem negara-negara Asian atau mungkin separa dengan negara-negara Eropah? Tidak hanya berpaksi pada fantasi “The American Dreams” dari Hollywood.
No comments:
Post a Comment