Rebiu Psiko ; Pencuri Hati dengan halus mencuri kembali hati penonton.




".. kita semua punya sisi gelap dalam benak hati yang menjadikan kita semua sebenarnya psiko. yang membezakan hanya bagaimana hebatnya kita dapat menyimpan sisi gelap itu dan terus menyembunyikannya dari kesedaran kita sendiri,"

Psiko ; Pencuri Hati sebuah filem phycological thriller diterbitkan oleh Studio FilmMecca, The Attic Post dan EmasKarya. Lakonan Bront Palarae, Sharifah Amani, Syed Hussein, Amerul Affendi, Shuhaimi Yusof dan Shera Aiyob.

Naskah skrip Psiko ; Pencuri Hati ditulis oleh Amin Shakib, diolah melalui lakon layar oleh Fared Ayam dan Nam Ron dan diarahkan oleh Nam Ron.

*tak perlu lah menceceh panjang tentang filem, kerja atau biographi penuh mereka kat sini, sbb yang aku nak cerita tentang bentuk dan isi dalam filem yang telah mereka bikin ini. kalau ada yang tak kenal lagi siapa mereka, boleh lah tanya lebai gugel. 

Psiko ; Pencuri Hati berdiri sempurna dalam genrenya dan dari seawal naratif penonton diberi ruang untuk meneroka misteri alam psikologi ini. Dan setiap detik tanpa putus penonton diberi persoalan dan sudut pandang pada pelbagai perspektif dalam pengisian naratif itu sendiri dengan gaya penceritaan yang menarik dan subtle, tidak hanya 2 dimensi melalui watak dan tingkah gerak watak di atas permukaan naratif. Ia jelas memperlihatkan garapan yang sempurna pada setiap watak dan tingkah perwatakan yang utuh, berjaya membawa penonton menyelami setiap watak itu yang punya cerita mereka masing-masing. 

Stories is about human problem, faces and places.

Ini jelas dan terang dilihat bila naratif bergerak melalui watak-watak yang minimum dan setiap watak ini benar berhubung dengan baik diantara mereka, dan setiap mereka juga punya fungsi dan berfungsi sebaiknya mengerakkan cerita, kita (penonton) juga dalam masa yang sama turut terbawa tanpa sedar meneroka setiap inci dan rona setiap watak. Dalam ruang warna yang halus tidak terlalu gelap, seperti warna merah cair di muka dinding di dalam bilik O.Sidi (lakonan Bront) saat seawal naratif Nam Ron memperkenalkan dgn jelas watak utama, dan bagaimana persoalan, siapa Man (lakonan Amerul Affendi) yang ketika itu hanya dapat kita dengar suaranya dari luar bingkai naratif. Dan disini letaknya kehebatan Psiko ; Pencuri Hati, pada rona watak yang hidup pada permukaan naratif dan dilakonkan dengan sangat baik oleh barisan pelakon yang hebat, memberikan penonton ruang untuk meneroka watak2 yang mereka lakonkan ini. 

"Tak gelap. tak deep!" bisik Man pada O.Sidi. 

Dan begitu lah seterusnya keseluruhan naratif Psiko ; Pencuri Hati. Kita tahu dinding itu merah, dan ia seharusnya lebih gelap, tapi Nam Ron sendiri memilih untuk tidak terlalu mengelapkan naratifnya. 

"Kau jugak yang pilih," bisik O.Sidi pada Man kembali. Sinis Nam Ron pada kita (penonton).

Benar jelas kita mendengar suara Nam Rom melalui patah kata yang diucapkan oleh watak Man. Setiap patah kata yang keluar dari Man dilihat jelas seperti suara pengarah sebagai pencerita yang menghidangkan penonton dengan persoalan, andaian, persepsi dan perspektif untuk bagaimana penonton harus membaca setiap pergerakkan watak-watak ini, terutama dari sudut pandang watak O.Sidi, penggerak utama naratif Psiko ; Pencuri Hati.

Menarik bila gaya dan pengisian lakonan Bront melakonkan watak O.Sidi dipersembahkan persis watak Mort Rainey lakonan Johnny Depp dalam filem Secret Window. Resah gelisahnya dikawal sebaiknya seperti dia juga sedang menyembunyikan sesuatu dari kita. Mengikut permainan dari suara watak Man (Nam Ron).

Syed Hussein (Sein) dan Sharifah Amani juga turut berjaya menghidupkan setiap inci perwatakkan lakonan mereka dengan baik. 

Malah watak Pak Abu lakonan Shuhaimi Yussof sebagai the comic relief character juga turut berjaya menyumbang pada keseimbangan naratif. 

Setiap pergerakkan watak-watak dalam filem Psiko ; Pencuri Hati, seperti neuron yang menggerakkan akal, hati dan perasaan kita (penonton) untuk mentafsir fikir-rasa dan jiwa watak-watak yang berlegar dalam ruang naratif. Siapa mereka ini sebenarnya dan apakah tujuan keberadaan mereka dalam naratif yang timbul jelas dipermukaan yang berombak tenang pada 20 min pertama. dan kita terikut dalam apungan gagasan naratif itu. 

Seperti dialog yang diucapkan Man "fancy, ombak rindu,"

Setiap persoalan terapung-apung di permukaan naratif, seperti ruang lanskap alam naratif itu sendiri, diberikan pada penonton satu persatu, kemas dan menarik sehingga pada 30 minit terakhir filem ini, penonton yang terpaku cuba mencari jalan keluar dari kusut belitan jiwa watak dan akhirnya dicerahkan dengan jawapan pada lambakan persoalan yang telah dikumpul dari seawal naratif, yang paling menarik bila jawapan-jawapan itu diberikan dengan bijak, punya gaya penceritaan yang sangat menarik. Ini permainan jiwa yang Nam Ron cuba berikan pada penonton. Dan kita (penonton) secara tidak langsung terlibat dalam permainan ini, yang tanpa kita sedar telah mendekatkan kita dengan naratif juga watak di layar.

"... wayang gambar bertindak balas secara pantas dengan keadaan nasib penontonnya, dan menjadi ubat mujarab bagi mereka yang tahu mengendalikannya selepas menonton. Manusia filem bukannya manusia biasa, bintang-bintang pujaan adalah buah hati, penggerak contoh, model tiruan, dan wajah impian dalam tidur yang penuh dengan mimpi yang cantik-cantik. Wayang gambar juga diibarat sebagai sesuatu yang luminous, terang, bercahaya, dan ganjil. Yang ganjil itu ialah majis yang mengharukan, silap mata yang menyeronokkan dan memukau, dan sifat layar perak itu sendiri yang terasa dapat disentuh tetapi jauh dan jarak. Hati penonton bergegar, berombak-ombak, tergapai-gapai kerana bintang yang dipuja berdiri tinggi, kemudian jauh, kemudian dekat semula seolah-olah boleh disentuh muka mereka. Paling menyayat hati ialah kesedihan dan penderitaan di layar perak hampir terlalu serupa dengan cerita sendiri. " kata Dr. Anuar Nor Arai.

Ini jelas dapat dilihat melalui bentuk dan isi filem Psiko ; Pencuri Hati. Dan hal ini yang telah lama dirindui oleh penonton filem kita, untuk merasai kembali sesuatu yang dapat kita sentuh, terasa peribadi dan hak milik kita (penonton). Dan Psiko ; Pencuri hati adalah hak milik kita yang telah berjaya mencuri hati kita kembali.

Saat kita hampir hilang teruja dalam bobrokkan filem-filem yang tak mampu menyentuh hati kita lagi seperti filem-filem dahulu (hanya sebagai contoh Jimi Asmara, Fenomena, Sayang Salmah, Abang 92) akhirnya Nam Rom juga mereka yang komited dalam menjayakan naskah ini, berjaya mencuri hati kita kembali dan mengembalikan filem kepunyaan kita yang mampu kita (rujuk sebagai masyarakat) sentuh dan terasa dekat dengan hati dan jiwa. 

Kalau naskah filem pertamanya Gedebe, Nam Ron berbicara tentang perbolakkan isu politik negara ketika itu dan dalam filem keduanya Gadoh, Nam Ron berbicara tentang kepincangan sistem pendidikan negara. Dalam filem ini, dengan jujur tiada itu dan ini tentang hal yang akan membebankan khalayaknya, kali ini Nam Ron berbicara tentang kepincangan manusia itu sendiri, individualistik, manusia seperti kita berdiri sendiri dalam menguruskan hidup kita yang punya kesan pada kelompok masyarakat. kita semua saling berkait, dan hubungan inilah yang akan menjadi timbal balik dan terkesan dari setiap tingkah individu itu, bagaimana fakulti pemikiran seseorang individu itu akan juga memberi kesan pada masyarakatnya. 

"Hak kau adalah hak kau. hak aku adalah hak aku." kata O.Sidi pada Man.

Terpulanglah pada kita sendiri bagaimana dan dari perspektif mana (dari pengisian pada watak dan naratif ) kita akan melihat filem ini. 

Benar filem ini punya sublime yang mampu dibuka dari pelbagai sudut pandang dan perspektif dan ia bersifat terbuka bergantung pada ruang bakul yang kita (penonton) bawa saat waktu menonton. maka tiada analogi yang tepat menerangkan apakah sebenarnya yang Nam Ron atau penulisnya Fared Ayam mahu sampaikan melalui naskah filem ini. Tapi yang jelas mereka bercerita tentang manusia, dan kepincangan manusia menguruskan hidup mereka. Tentang hati dan jiwa. Tentang kita. Masyarakat Malaysia.

Hanya mungkin bentuk dan stuktur naratif itu akan jadi lebih menarik jika cetusan persoalan pada kegelisahan watak diberikan dengan jelas lebih awal, mampu memberikan penonton rasa dan degub getar resah dalam meneroka watak dalam naratif itu. Mampu membawa penonton dalam perjalanan roller coaster of emotion yang lebih mendebarkan. 

Namun, Psiko ; Pencuri Hati berdiri sempurna dalam genrenya, dan jelas merupakan sebuah filem yang telah lama kita rindukan. Maka satu kerugian jika ia tidak diraikan di panggung oleh kita sendiri, sebelum filem ini diraikan oleh mereka diluar, seperti yang terjadi pada filem Mualaf arahan Yasmin Ahmad. Atau mungkin yang terbaru, filem Bunohan, yang mati terduduk di dalam panggung kita sendirian. 

Ayuh ke panggung tonton filem milik kita ini. 



kaz ishak