novel bogel tulisan gua ; epilog 3 naga









Harga: RM 19.90
ISBN: 978-983-124-797-6
Halaman: ~496
Bahasa: Bahasa Melayu
Berat: 500 gram
Tarikh Terbit: 15 Jun 2012
Kategori: Novel



Adegan 1

Celik

KETIKA ini aku lelah, lesu, lengit, malas, atau apa pun istilah yang menggambarkan aku berbangsa Melayu. Yang aku tahu, hidup ini hanya ada buku, DVD cetak rompak dan kadangkala kalau mahu bersosial, aku akan ke panggung. Itupun kalau ada filem yang Sofia mahu tonton. Selain meneroka kepala gila sang legenda pemikir dunia. Agar dapat memahami cerita-cerita picisan mereka. Untuk aku memahami jalan hidup yang pernah mereka lalui. Agar dapat aku teladani patah-patah kata mereka yang tak pernah aku faham, walaupun berbeza-baza dialektikal gagasan idea merata. Namun, akhirnya aku sangap sendiri. Menanti sesuatu yang dicari untuk datang bergolek-golek, macam ayam golek dari bazar Ramadan. Atau mungkin ayam betina dari bangsal kelam dengan lampu neon warna warni, di pinggir tanah licin. 

Aku sendiri, sentiasa mahu mempercayai bahawa aku berada di atas landasan yang betul, namun mencari landasan yang mana sebenarnya aku berada. Di mana pun aku berdiri, berada, bila mana pun, pasti akan ada suara. Walaupun dalam sunyi. Hanya jika aku mahu. Atau mungkin tidak ada apa pun yang sebenarnya aku katakan. Sunyi dan sepi sendiri, masih menyeronokkan jika punya gagasan idea yang mampu mengisi ruang kosong ini. Biskut samprit coklat yang diisi dalam tin Milo, biskut kegemaran aku yang mama buat sudah habis, kosong, yang tinggal hanya saki-baki serbuk coklat yang manis di dalam tin Milo, di depan mata aku. Meredap aku sendiri. Dan tekak aku masih mualkan sesuatu. 

Sambil aku mengetuk perlahan tin Milo yang kosong itu dengan jemari kurasanku, mendendangkan rentak lesu, mencari ilham untuk melakukan sesuatu, untuk mengisi kebosanan kepala aku yang masih berdengung. Dan aku mula tonyoh, conteng atau mungkin menulis sesuatu, di muka-muka kosong jurnal picisan aku ini, tentang aku. Tentang kita. Dan semua kita yang bernama manusia yang punya limitasi akal. Kemuncak limitasi akal ini lah adalah kesedaran yang akan membentuk perubahan. Anjakan gagasan pemikiran. Suatu revolusi pemikiran berlangsung dan membentuk dunia pandang baru. Gagasan idea. Sebuah dentuman yang akan mengejutkan kita dari lena yang mengasyikkan, membentuk suatu kubikel kesedaran. Bunyi dentuman guruh di langit mengejutkan tidur-tidur ayam aku. Ketika aku yang sedang lena berlengkar di atas katil. Kepalaku menerawang melihat kipas silling yang berpusing menghasilkan bunyi nyaring yang menyakitkan hati. Kemudian mataku beralih melihat ke arah peti televisyen di dalam bilik ini, yang sedang menyiarkan berita. Rimas benak mata melihat berita TV yang disiarkan tanpa aku langsung mengambil perhatian terhadap apa yang di perkatakan wanita Melayu kacukan Cina tersebut. Akhirnya hanya manusia menghukum manusia dan manusia mengkafirkan manusia lain. Humanistik menjadi medium propa kesesatan, terutama apa yang sedang berlaku di balik tanah tumpah darah. Telinga aku menjadi tuli dan mata aku benak menjadi lengit. Aku tak gemar dalam keadaan lengit begini. 

.....

antara mimpi dan celik. 
3 remaja mencari kebenaran dalam pengembaraan. 
dalam sedar juga tidak.
.
Adegan 2

Mimpi

DERU angin dari kipas siling bilik ini kedengaran semacam mentertawakan aku. ‘Sial!’ bisik hatiku. Sambil mengira, satu hingga sepuluh, cuba menenangkan diri. Seperti mengira biri-biri yang melompat melintasi pagar di atas kabus lapang. Sesekali aku cuba mengelat, memandang ke arah mana mereka tuju, cuba mengatur langkah untuk memerangkap mereka nanti. Mereka ketawa sambil bertempiaran memanjat ke puncak gelung besi.

Selesai aku mengira, aku membuka mata. Cahaya silau menyenakkan mata. Aku melihat mereka di atas puncak gelung besi ini mentertawakan aku dan aku bergegas memanjat gelung besi itu, mengejar mereka, Khalid, Sean dan Iskandar yang cuba melarikan diri dari aku.

Mereka ketawa, sambil cuba mengelakkan diri dari aku yang cuba mengejar mereka di gelung besi di taman permainan itu. Mereka memanggil aku lengit berulang-ulang kali. Hampir 10 minit aku cuba mengejar dan menangkap mereka, sehingga aku menjadi lelah, mengalah. Dan aku ditertawakan.

“Lengit! Arul lengit! Arul lengit!” ulang Khalid, Iskandar, dan Sean.

Aku tak tahu sama ada aku gembira, punya rakan-rakan baik dan mereka bersama-sama aku dalam dunia permainan kejar mengejar di taman permainan in. Atau aku sedih kerana aku manusia yang cepat mengalah. Mereka bingkas dan licik, mentertawakan aku. Aku kemudian mendesak tubuh badan aku untuk terus mengejar mereka. Tiba-tiba suara ketawa itu terhenti. Aku yang berada di atas puncak gelung besi itu memandang ke bawah melihat tanah padang permainan itu bertukar menjadi warna merah pekat. Aku ketakutan dan pandangan mata aku semacam melihat kesan vertigo ke arah bawah gelung besi itu. Seperti dalam filem klasik Alfred Hitchcock! Nafas aku berdegup kencang. Aku takut dan menutupkan mata, mengharapkan ketakutan itu akan hilang. Kejutkan aku dari mimpi yang aneh ini!

Aku membuka mata kembali dan deruan angin dari kipas siling ini semacam punya ritma dan irama yang membingitkan.

Mungkin benar aku budak cekai atau mungkin malaun yang malang! Yang akhirnya tewas, pada yang menipu dan yang tak sedar ditipu. Namun budak berintenet, yang tak mudah ditipu, juga dikenali mereka sebagai graduan blogspot. Benar teknologi merapatkan jurang geografi dunia, tapi teknologi juga membunuh komunikasi fizikal sesama manusia. Yang terjadi, aku dan mereka yang menjual burger, punya harapan. Menyimpan harapan di kaki lima, tamadun Andalusia zaman ini. Aku bukan dan tidak punya sebarang masalah delusi grandeur, malah aku rasa aku ini anti grandeur-delusion! Kesudahannya katil empuk ini semacam menelan aku. Membenam tubuh layu aku seperti rasa dalam dingin badan aku. Dan katil ini seperti jalan kehidupan yang menelan aku hidup-hidup. Semacam road movie! Seperti filem Thelma And Louise? Badlands? Atau mungkin Dari Jemapoh Ke Manchestee? Jalan raya menjadi indikasi bagaimana untuk melihat sesuatu dalam hidup. Lengkarkan tubuh di katil ini dan jangan berharap untuk menentang godaan untuk bingkas bangkit dari lena. Katil dalam bilik aku ini punya jembalang, mambang, hantu mahupun jinnya sendiri!

Aku sendiri hanya menyerah bila mana katil dan tilam ini sudah mencengkam tubuh aku yang lesu. Sensasinya tidak mampu aku kawal. Tubuhnya yang lembut, putih dan gebu. Bila mana tubuh aku bertemu dengan tubuhnya, aku tenggelam dalam sensasi magisnya. Bersatu, meletuskan nikmat syurga di dunia. Kepala aku masih berpinau, berdengung! Memikirkan tentang aku, kami dan makna pada epilog tiga naga ini. 

Aku sendiri yang buat pilihan. Atas apa yang aku mahukan dalam kehidupan. Mungkin, dalam perjalanan hidup, dalam kepelbagaian pilihan yang dibentangkan, kita silap membuat pilihan. Tapi adakah kerana kita takut untuk membuat pilihan, kerana takut pilihan yang kita buat itu nanti tidak akan sempurna, maka kita tidak membuat pilihan tersebut?

Aku masih lagi tercampak dan berlengkar di atas tilam empuk ini. Aku menutupkan mata, dan hanya itu yang aku mampu lakukan. Tutupkan mataku! Namun, aku takut untuk terlena. Kerana aku punya mimpi yang sentiasa bermain dalam lena aku kini. Dan mimpi ini sentiasa berulang-ulang.

Mimpi ini seperti permulaan filem arahan Andrey Tarkovskiy, Andrei Rublev. Hanya ia berlangsung di sebuah festival belon panas. Melalui sebuah belon panas yang terbang tinggi, aku mengelilingi kota yang tak pernah aku kenal. Dan bila aku bangkit dari mimpi ini, persoalan yang berada di atas gagasan otak aku adalah sama seperti soalan Mawi ketika baharu keluar dari Akademi Fantasia! “Rasa macam mimpi!”

.........

buku novel Epilog 3 Naga hanya akan ada di pasaran massa awal bulan August 2012!

tapi kalau ada yg terdetik nak dapatkan naskahNya awal! jom datang beramai-ramai ke Pesta Buku Selangor di SACC awal bulan July ni! naskah novel Epilog 3 Naga akan di jual di sekitar pesta buku tersebut!

p/s : KLIK SINI untuk membilas tekak yang mual.



5 comments:

  1. Nice way of using words!!! Can't wait to read it!!

    ReplyDelete
  2. Apa yg lengit sgt Lu?. Haha..

    ReplyDelete
  3. Anak muda yg tersesat dalam dunia kota sekular!,

    ReplyDelete
  4. Oh..ini blog Penulis Kaz Ishak tu.. :)

    Dari kisahsigemok@blogspot.com

    ReplyDelete