kopi + donut = sinema

"... Jika mahu tahu apa yang diperkatakan oleh seseorang, lihatlah bagaimana ia memperkatakannya."
Ingmar Bergman


Kata cikgu aku ; ketika kita menonton, akan ada semacam terharu, suntikan rasa nikmat yang cukup kekal, yang mencubit, rasa luar biasa yang amat berkesan, terasa-rasa bahawa terbina sebuah impian yang dekat dengan diri, dan lalu terasa terasuh dengan ajaran dan nasihat yang mudah disematkan ke dalam ingatan.

Wayang gambar bertindak balas secara pantas dengan keadaan nasib penontonnya, dan menjadi ubat mujarab bagi mereka yang tahu mengendalikannya selepas menonton. Manusia filem bukannya manusia biasa, bintang-bintang pujaan adalah buah hati, penggerak contoh, model tiruan, dan wajah impian dalam tidur yang penuh dengan mimpi yang cantik-cantik. Wayang gambar juga diibarat sebagai sesuatu yang luminous, terang, bercahaya, dan ganjil. Yang ganjil itu ialah majis yang mengharukan, silap mata yang menyeronokkan dan memukau, dan sifat layar perak itu sendiri yang terasa dapat disentuh tetapi jauh dan jarak. Hati penonton bergegar, berombak-ombak, tergapai-gapai kerana bintang yang dipuja berdiri tinggi, kemudian jauh, kemudian dekat semula seolah-olah boleh disentuh muka mereka. Paling menyayat hati ialah kesedihan dan penderitaan di layar perak hampir terlalu serupa dengan cerita sendiri. Apa saja yang diberikan di layar perak pasti akan tersemat dalam ingatan dan dijadikan renungan sehari-hari sebagai cerita diri sendiri. Dalam keadaan yang sebegini rupa seorang individu yang menonton punyai hubungan yang semakin akrab dengan layar mereka.

Zaman dan kehidupan mendesak manusia untuk bergerak pantas, tersepit dalam ruang yang mendesak, terapung-apung, mewujudkan manusia yang terbuang, terusir, terpinggir. Kehidupan terasa kosong, tidak terlalu berat dan menekan tetapi semacam mencubit-cubit, melingkari hidup sehari-hari dan terasa ingin dilepaskan sekaligus. Anak-anak muda mula terasa dibuai-buai untuk menguasai sikap dan tata-laku mereka. Maka terwujud jugalah wayang yang hidup dengan mimpi sosial, ketika waktu ingin memperbetulkan dan mengangkat diri sendiri, ketika dan waktu ingin memperbetulkan diri sendiri di kampung-kampung juga bandar yang berkeadaan berselerak, tersepit dan dihimpit kehidupan yang mendesak manusia untuk terus bergerak. Wayang-wayang ini memberikkan kebebasan itu, menjawap masaalah yang berlegar-legar dalam hati dan benak mereka, dan menjadi ubat mujarab dalam mimpi nyata anak-anak muda zaman ini. Wayang juga turut memberikan jangkauan yang jauh seolah-olah dunia yang dicipta di layar itu adalah dunia contoh yang berada di halaman dan dalam bilik tidur mereka ( dekat dan tersentuh oleh mereka ).

Mereka yang menonton ( majorati besar, di negara kita khususnya ) sebenarnya adalah mereka yang terselubung dalam kesempitan pemikiran dan kehidupan, yang disebabkan oleh ruang yang sempit dan mendesak. Mereka terbuai-buai dalam gelap, diikat dan diletakkan dalam ruang yang sempit, vacuum, yang mendesak untuk mereka terus bernafas dalam ruang yang sempit itu, oleh kerakusan mereka yang berkuasa. Maka wayanglah yang menceritakan dan memutarkan hidup mereka semula, dengan pelakon yang sama naive ( pada aku, yang membuatkan kita rasa dekat, tergolong dan rasa berada dalam satu lingkaran yang sama ).

Hubungan lansung penonton dengan layar bukannya hubungan mencari sesuatu yang sensible, mengukur sikap atau mencari sesuatu yang berfikir, tetapi rasa sebenar yang tersusun begitu mudah dan tidak menyulitkan. Dan pembikin filem pula, sama-ada menulis, mengarah dan mengerjakan filem dan bintang-bintang filem, mahupun pemusik lebih bijak dari penonton. Mereka pandai bergerak, pandai mengeluarkan tutur-kata, mudah menitiskan air-mata dan bijak berjenaka bila keadaan semakin sesak dan menyenakkan. Maka berlakulah timbal-balik yang cukup sempurna di mana timbal-balik itu bersifat komplementari. Keadaan ini tentunya dapat berlaku dalam keadaan yang tertentu dan ditetapkan oleh waktu yang dirasai bersama ( zaman yang tak tentu hala ).

No comments:

Post a Comment