Sekali Lagi, filem romantik komedi, arahan Hashim Rejab. Lakonan hebat Mia Sara dan Shaheizy Sam. Juga Lisa Surihani dan Bront Palare. Terbaik apabila melihat variasi filem yang dianjurkan pembikin filem Malaysia selepas longgokan filem-filem aksi dan horror di panggung juga kesesakkan filem besar Hollywood Transformers, The Green Lantern, Pirates dan lain-lain. Namun ;
Sebuah kerja filem adalah merupakan tanggung-jawap sepenuhnya seorang pengarah, walaupun sesebuah kerja filem itu adalah gumpalan koloborasi fragmentasi dari kerja-kerja pembikin filemnya yang lain sama-ada dari penulis script, cinematographer, production designer, pelakon, sound engineer dan lain-lain hingga ke penyunting film. Walaupun teori Auteur ini menjadi argumentasi, namun, dengan meletakkan displin sudut pandang sebuah kerja filem, pada hakikatnya kerja filem adalah di atas tanggung-jawap pengarahnya yang mana pengarah itu yang menentukan segala-gala yang diletakkan di permukaan bingkai/frame dalam juxtoposisi yang melahirkan naskah naratif berbentuk visual-image ( sebuah naskah filem ). Pengarah harus membentangkan naskah naratif itu pada seluruh warga kerja bikin filem terutama pelakon-pelakonnya dan ruang yang dibentangkan itu lah yang akan membenarkan pelakon untuk meneroka watak lantas mempersembahkan lakonan dalam ruang-masa naratif untuk memberikan signifikasi yang lebih utuh pada naratif dan karakter kerana naratif itu adalah tentang karakter dan masaalah-masaalah pada karakter-karakter yang wujud dalam ruang dan masa naratif tersebut. Dan yang terjadi pada filem “Sekali-Lagi” arahan Hashim Rejab, terbitan Metrowealth Production ( MIG Production) adalah pada ruang-masa naratif nya yang sempit dan mentah yang menganjurkan watak yang tidak punya daya untuk dibuka dan diteroka oleh bakat-bakat sebesar Shaheizy Sam, Lisa Surihani, Bront Palare juga Mia Sara. Namun, kehadiran Mia Sara sekurang-kurangnya telah menyelamatkan keseluruhan ruang naratif dari tenggelam dalam emosi naratif yang sempit itu.
Bermula se-awal shot pertama, penonton dibawa melalui kamera meneroka ruang bilik Arman, lakonan Shaheizy Sam, kosong ( tiada the cinematographic thought ), hanya kelihatan visual tempelan yang tidak membawa sebarang konotasi yang jelas pada naratif. Kemudian penonton dianjurkan pada watak autistic Arman yang dibawa Shaheizy Sam, dilihat semacam tidak berjaya menganjakkan emosi yang lebih utuh pada kewujudannya dalam ruang naratif yang sempit itu, hanya kerana naratif itu tidak dibuka dan dibentangkan luas oleh pengarah, Hashim Rejab untuk mewujudkan the entity of acting space-time-thought. Sehingga pada plot/momen pertemuan Arman dengan Mimi/Amy lakonan Mia Sara. Dan pada ketika itu, Mimi menjadi penyelamat Arman yg ketika itu dirompak /dibuli. Kehadiran Mimi sebagai penyelamat itu benar berdiri sebagai penyelamat keseluruhan naratif juga naskah filem tersebut. Lakonan Mia Sara sangat benar berdiri pada ruang naratif, membenarkan kata-kata manis dan jujurnya itu memecahkan ruang yang sempit tersebut, lantas memberikan suatu kebenaran pada kewujudannya sebagai Amy/Mimi yang menjadi nadi utama keseluruhan naskah naratif
Struktur naratif naskah filem Sekali Lagi bergerak dengan terang dan jelas semacam fragmentasi cedokkan/pengaruh/ciplakkan filem besar Bollywood Kal Ho Naa Ho, juga austistic My Name Is Khan dan filem-filem besar Hollywood, Sleepless Seattle, You Got Mail mahupun austistic I Am Sam. Benar pembikin filem itu meniru atas dasar dipengaruhi oleh pemikiran dalam filem-filem terdahulu yang memberikan inspirasi pada pembikin filem tersebut, contoh filem-filem maestro Scorsese sendiri dipengaruhi oleh filem-filem klasik seperti The Searchers oleh John Ford, Orson Welles sendiri juga dipengaruhi oleh John Ford malah P. Ramlee sendiri banyak dipengaruhi oleh pemikiran Kurosawa, namun hanya pemikiran mereka ini yang di-inspirasi oleh maestro-maestro tersebut yang di bawa dalam filem-filem mereka, dan bukan cedokkan dan ciplakkan gagasan idea naskah naratif semata!
Lantas, meletakkan argumentasi disini, filem “Sekali-Lagi” arahan Hashim Rejab ini semacam sebuah naskah naratif yang masih mentah, belum cukup haul dan masak ( tidak di-olah sebaiknya ) dan naratif yang mentah ini tidak lansung dibentangkan luas lantas melahirkan sebuah ruang-masa yang sempit. Dan hanya kemanisan suara kata-kata jujur Mia Sara, juga kewujudan hubungan yang tercipta antara Mia Sara dan Shaheizy Sam melalui watak Arman dan Mimi itu sahaja yang berjaya menyelamatkan naskah filem ini yang sempit dan dihimpit dalam emosi naratif yang mentah.
Yang menjadi masaalah dalam naskah filem “Sekali-Lagi” adalah naratifnya. Struktur naratif disusun baik, dengan persoalan dianjurkan pada watak dengan terang dan jelas namun meleret tiada paksi dalam kebingungan austistic watak Arman, momen pada ruang-masa naratif diberi denyutan manis melalui watak Mimi dan hubungan antara Mimi dan Arman, namun plot-point resolusi persoalan pada naratif itu dibentuk meleret dan akhirnya diberikan kemuncak resolusi yang sifatnya “malas” tanpa sebarang pembentukkan resolusi yang matang. Adakah penonton filem Malaysia kini sangat “BODOH” sehingga pembikin filem mampu menutup mata mereka pada “KEBODOHAN” yang mereka anjurkan pada resolusi persoalan naratif? Lihat pada ketika scene di taman permainan di akhir naratif yang menjadi plot-point pada resolusi naratif. Bagaimana watak tunang Arman menyelesaikan konflik dalamannya yang memecahkan konspirasi yang terbuku dalam dirinya. Juga bagaimana status watak Mimi yang menjadi resolusi utama naratif itu di sampaikan. Dan akhirnya yang dapat dilihat adalah naskah naratif yang tidak langsung dibentang luas untuk membenarkan ruang-masa diteroka lantas diterjemahkan melalui bentuk gaya nahu filem yang lebih matang. Kesempitan ruang naratif, pemikiran, latar naratif, gerak tubuh lakonan dalam mengembangkan watak, dan segala-gala menjadi kecil dalam ruang yang sempit itu pada bakat-bakat sebesar Shaheizy Sam, Bront Palare, Mia Sara juga Lisa Surihani. Hanya terlihat kelibat kerapuhan emosi Lisa Surihani yang memecahkan kesempitan ruang naratif itu, ketika scene Shila lakonan Lisa bercerita tentang kisah cinta masa lampaunya pada Harris lakonan Bront. Lisa benar benar melontarkan kata-kata emosi jujurnya yang membenarkan kewujudan watak Shila pada ketika itu. Dan bakat sebesar Bront juga tenggelam dalam ruang yang sempit itu.
“Selepas kebangkitan semangat penonton filem Malaysia yang kini telah pun memberikan penuh sokongan, dilihat pada sambutan penonton filem Malaysia di panggung, janganlah mengecewakan penonton filem Malaysia dengan mempersembahkan “Sekali-Lagi” naskah filem yang mentah begini”.
Namun, filem “Sekali-Lagi” masih mampu berdiri dan punya sesuatu yang mampu menyelamatkan naratif yang mentah ini, iaitu kehadiran Mia Sara dan kejayaan hubungan yang dicipta oleh Shaheizy Sam dan Mia menerusi watak Arman dan Mimi. Sangat menarik perhubungan yang diwujudkan itu dan kudos pada Shaheizy Sam juga Mia Sara.
p/s : hanya berkongsi apa yang gua Rasa
p/s : hanya berkongsi apa yang gua Rasa
No comments:
Post a Comment