Mengimbas tulisan tentang filem dari dia yang lebih halus


Aku teringat pada tahun 1995, aku berusia 12 tahun. Aku dibawa ke panggung Odeon, Kuala Lumpur oleh arwah ayah bersama ibu serta abang dan adik-adik aku. Di panggung yang satu itu penuh dengan manusia-manusia seperti terdapat sebuah pesta yang meraikan malam mereka di kota Kuala Lumpur. Keriuhan manusia di lobi panggung itu, di kedai cina yang menjual air tin sejuk dan keropok serta penjual kacang yang berbangsa India di lobi itu. Di dalam panggung masih aku terasa kelemasan di kerusi class 2 di tingkat bawah panggung itu dengan makcik di sebelah aku memakan nasi lemak yang di bekal dari rumah. Sambil kedengaran tangisan anak kecil ketika menunggu filem bermula. Masih segar lagi ingatan aku pada kemeriahan malam itu dan tidak lama kemudian filem mula diputarkan. Di panggung itu memainkan filem Jimi Asmara! Masih teringat aku kesedapan menonton filem itu di panggung Odean, Kuala Lumpur.

Petikan kritikan dibawah ditulis oleh Dr. Anuar Nor Arai. Apa yang dia Rasa tentang filem Jimi Asmara filem pertama arahan Erma Fatima yang petikan tulisan kritikan ini telah dibentangkan pada Forum Filem Kuala Lumpur pada tahun 2001.

Shafiuddin Shariff, penulis skrip Jimi Asmara menghantarkan bahan yang cukup imaginative menyentuh keadaan dan suasana zaman berlalu 1950-an dan 1960-an. Tenaga yang ekspresif membina cinta abadi di antara Jimi Asmara ( Hani Mohsin ) dan Engku Noraini ( Maizurah Hamzah ) di sampaikan oleh Shafiuddin secara teratur, terkawal sehingga dapat menimba pengalaman intense yang disentuh secara lembut dan menghiris. Dasar percintaan yang dikemukakan oleh Shafiuddin adalah imbang dan adil kepada semua pihak. Keseronokkan kreatif seperti ini sukar untuk dilakukan kerana simpati yang rapat dan mendalam kepada Jimi dan Engku Noraini tidak pula meletakkan Engku Sulaiman dan Engku Roslan dalam keadaan yang terasing, digelincirkan dan dipandang rendah malah apa yang disusun dan diatur menjadi komplementari di antara mereka bertiga dan membentuk intrigue cinta tiga segi yang kukuh untuk membina atmospiar sezamannya. Sentuhan penulis mengimbangi latar masyarakat yang terpilih di zaman perubahan di antara zaman susah dengan zaman menaruh harapan dalam Jimi Asmara member tanda adanya pergolakkan social diantara kaum Melayu sesamanya sendiri. Shafiuddin Shariff bertolak dari cita-cita untuk mengangkat kebenaran di antara ketiga-tiga manusia ini – yang mewakili golongannya – dengan menimba hubungan di antara mereka secara gradual, dan mencari haluan emosi yang sebenar dan yang peribadi, keluarga dan dunia hiburan sezaman. Penulis dan pengarah ( Erma Fatima ) membuka dunia mereka lembar demi lembar secara lembut dan menyentuh hingga tertinjau isi dan kulit hati mereka. Rentetan emosi dan intelek sezamannya dikupas dari integrity peribadi setiap watak utamanya dimana rasa segar cinta itu dihambat dan didukung oleh setiap seorang daripada mereka secara hormat dan berhemat. Di mana keadaan mulai meledak dan emosi sudah tidak terkawal pada Jimi dan Engku Sulaiman, Shafiuddin Shariff menghalakan mereka dengan bayang-bayang harapan yang boleh dicapai oleh ketiga-tiganya. Harapan itu adalah untuk Engku Noraini yang duduk untuk diucap kabul dan menunggu untuk menyatakan isi hatinya dan menolak kehendak keluarganya, Engku Sulaiman berjaya menyusun perkahwinannya dalam keadaan yang dipaksa ke atas dirinya kerana terlalu ingin mengahwini Engku Noraini atas desakan diluar dirinya dan tidak terjangkau Engku Noraini akan menolaknya, manakala Jimi mulai melihat hidupnya yang akan cerah semula kerana Bintang Biru akan menemui peminatnya semula dimulakan pada hari yang sama Engku Noraini diijab-kabul. Dengan harapan yang ada pada setiap seorang itu the display of tenderness bermain dengan masa dan masa bermain dengan hati manusia. Percintaan diberikan intergriti yang segar dan menawan, tidak terlalu menyesak, memaksa dan penetrative, tidak pula melontar dan menghamburkan rasa benci dan menukul kelas sosial secara bias dan memihak, malah keseimbangan emosi dan intelek dari dua kumpulan kelas sosial ini bertemu dalam krisis social-peribadi yang meninjau keperluan jiwa dan harapan masing-masing yang terbuai untuk desakan emosi dan intelek mereka yang mendukung semangat sezaman.

Keratan rentas kelas social tidak terlalu rigid, malah kelas social diletakkan sebagai seketul magnet yang menangkap semua sudut ( Jimi-Engku Noraini-Engku Sulaiman-Mak Engku-Engku Roslan ) kerana kekuatan masing-masing beralih dari satu sudut ke satu sudut yang lain dalam tuntutan waktu ( duration ) yang dinyatakan untuk mereka. Rigiditi social dari kacamata Erma Fatima adalah sesuatu yang kabur (ambiguous) yang tergantung dalam emosi dan intelek pengamalnya yang separuh diperakui oleh masyarakat sesama bangsa kerana kedudukannya yang tidak tulis dan tidak legal ini di lihat oleh pihak masing-masing sebagai intelek (an intellectual attitude) sahaja. Kerana kedua-dua golongan kaya dan miskin ditembungkan secara terbuka untuk melihat ubah-timbal-balik (the reciprocal changes) sikap dan kekaburan moral perilaku manusia. Hiraki social yang wujud di tengah-tengah Melayu lahir mendesak krisis social adalah untuk mendapat pengiktirafan keintelektuilan mereka dalam masyarakat. Engku Noraini dalam urutan cintanya mendampingi golongan bawahan penyanyi dan penghibur cabaret – digerakkan oleh naluri perempuan muda yang membuka mata dan hatinya di luar kelasnya. Pada kaca mata golongan Melayu istemewa perbuatan Engku Noraini menyentuh dan mencubit kedudukan istemewa mereka dalam masyarakat, dan kepada penyanyi dan penghibur cabaret ianya tanda kedatangan dosa social yang akan menyiksa mereka. Topeng social dalam Jimi Asmara tidak terlalu nyata kerana Engku Noraini muncul dengan bertopeng biasa dan tidak mengambil kira sekatan social yang kabur dan longgar itu meninggalkan dirinya. Engku Noraini pernah pulang ke Engku Sulaiman dan meninggalkan Jimi, dan Jimi pula dikunjungi semula oleh Engku Noraini untuk memperkukuhkan jiwanya untuk menyambung cinta dan meringankan masaalah Jimi, dan sangat mengecewakan Engku Sulaiman. Kedudukan seorang gadis Melayu yang membawa krisis ini sedar ia sudah memperolehi kebebasan. Belenggu keras kelas social Nampak agak lembut dan lebih mudah dilerai dalam filem Jimi Asmara.

Permainan air mata tidak pula dibiarkan melulu untuk menimba simpati terhadap pihak yang berada dalam intrigue cinta tiga segi ini, dan keganasan fizikal diberikan sekadar cukup untuk memaksa Engku Sulaiman bertemu dengan kedudukan dirinya menyedarkan Jimi Asmara. Manusia yang dicipta oleh Shafiuddin memiliki intelek yang tinggi dan bermain dengan emosi dengan kadar yang secukupnya. Bila emosi sudah sampai ke tahap silingnya (klimaks) maka Shafiuddin mempertemukan pilihannya untuk memihak. Beliau memihak kepada pihak yang runtuh dan terasa pula tidak bias, malah Erma Fatima dan Shafiuddin memberikan kejutan yang manis dengan menyelamatkan Jimi, walaupun terpaksa mengorbankan nyawa Fakar ( Rosyam Nor ).

Erma Fatima sebagai pengarah filem Jimi Asmara dapat mentafsir premis percintaan yang dikemukan oleh Shafiuddin Shariff. Erma Fatima mampu melahirkan landasan hala tuju perjuangan Jimi Asmara dalam dunia hiburan dengan memberikan latar waktu yang hidup, membina perilaku sezamanya secara dekat dengan mengambil parallel secara interpretative zaman penyanyi R. Azmi, P. Ramlee, The Beatles, dan A. Ramlee. Dengan keinginan mewujudkan parallel ini Erma Fatima bersama Shafiuddin memberikan secara lansung music popular sezamannya dan mengukuh seluruh latar waktu, suasana dan keadaan. Erma Fatima juga bijak melahirkan tatalaku watak-watak filem hitam-putih dengan cara dan sudut tafsiran pengarahannya. Pengalaman cinta di antara Jimi dan Engku Noraini (berhubung dengan suka duka pengalaman dan hidup secara khusus dan menyeluruh seorang penghibur zaman 1950-an) ditimba secara bebas oleh Shafiuddin dan Erma Fatima. Tinjauan mereka berdua ini digerakkan di atas fakta sezaman yang sengaja di longgarkan supaya yang sama dan berbeza dapat menyentuh apa sahaja yang tersembunyi pada ketika itu (the disguise of time) kerana yang lebih utama dan penting ialah untuk mengangkat kisah suka dan duka seorang penghibur dan melahirkan sikap tertentu yang berada di luar jangkanya dengan merasakan persamaan dan paralelnya dengan dunia hiburan zaman R. Azmi dan penyanyi-penyanyi yang lain. Filem Jimi Asmara tidak sama sekali cuba menceritakan kisah hidup R. Azmi dan sudah tentulah jika ada dikait dan terkait dengan sengaja adalah semangat sezaman. Aksi-aksi utama yang dirujuk (the special significance in all the actions) pada zaman R. Azmi adalah tenaga kretaif penulis dan pengarah menterjemah peristiwa dan waktu.

Panjang lagi petikan kritikan ini ; nak baca lagi call aku. Aku fotostatkan.. tapi yang aku nak katakan kat sini bagaimana Dr. Arai meneroka dan mengupas isi dan kulit naratif Jimi Asmara.

p/s : Cuma aku terkilan dan ralat bila tele-filem “Ronggeng Rokiah” karya terakhir arahan arwah Dr. Anuar Nor Arai yang mengangkat dunia neo-noir berlatarkan zaman 1950-an di kota Singapura dan Johor Bharu tentang manusia lemas dan bernafas dalam dunia Cabaret dan industri perfileman. Ronggeng Rokiah yang asal dari persembahan teater yang juga pernah dipentaskan di Istana Budaya pada tahun 2003, kemudian diangkat dan direalisasikan dalam bentul visual (tele-filem) kini terdampar begitu sahaja tanpa dapat dinikmati rakyat Malaysia sendiri. Kalau En. Noor Kadir baca blog aku, aku doa agar En. Noor Kadir dapatlah membuka hatinya untuk menayangkan filem itu yang aku rasa sama hebatnya dengan karya Seman oleh Mansor Putih. Atleast for the sake of  education.
*ralat sebab terlepas tayangan tertutup "ronggeng Rokiah" di finas dulu! kawan-kawan beri gambaran filem dan gerak naratif yang tiada paksi. cis! itu je yang aku dapat dari gambaran kawan-kawan yang sempat menontonnya dulu! ralat~ ralat~

No comments:

Post a Comment